Adakah kerana gagal sediakan kelengkapan PdPR jadi faktor sekolah dibuka?, soal senator

Adakah kerana gagal sediakan kelengkapan PdPR jadi faktor sekolah dibuka?, soal senator

Pengumuman Menteri Pelajaran untuk membuka kelas persekolahan bermula Mac 2021 adalah sangat memeranjatkan. Apatah lagi apabila ia dilakukan sehari selepas Perdana Menteri melancarkan program Didik TV di bawah Kementerian Pelajaran.

Menteri Pelajaran juga hakikatnya telah gagal memberi penjelasan kukuh dan rasional akan pengumuman segera pembukaan kelas-kelas persekolahan di seluruh negara yang merangkumi semua zon jangkitan pandemik Covid-19. Ia seperti memberi gambaran bahawa keselamatan dan nyawa para guru dan para pelajar tidak menjadi keutamaan .

Pengumuman mendadak yang sering menjadi amalan Menteri Pelajaran ini sangat memeningkan kepala dan menyakitkan hati khususnya para ibu bapa, lebih-lebih lagi flip flop daripada kerajaan dalam urusan penting pendidikan anak-anak seolah-olah sudah menjadi satu trend dan “strategi” berterusan.

Saya percaya ini satu kegagalan besar daripada demikian banyaknya kegagalan yang berterusan dilakukan oleh Perikatan Nasional.

Kegagalan ini bertitik mula daripada lemahnya kerajaan pengkhianat yang berhempas pulas untuk bertahan sebagai pemerintah meskipun mereka ternyata sudah tidak punya keupayaan dan perancangan, bahkan pada saat sebenarnya mereka sudah pun kehilangan kepercayaan rakyat dan sokongan majoriti Ahli-ahli Parlimen Malaysia.

Tidakkah sepatutnya kerajaan memberi peluang agar guru-guru sekolah dan para pelajar terlebih dahulu menerima suntikan vaksin Covid-19 yang difahamkan akan bermula penghujung bulan ini, dan kemudiannya barulah beralih keputusan ke arah pembukaan kelas-kelas persekolahan.

Bukankah lebih baik kerajaan memastikan rancangan bantuan peranti internet kepada para pelajar dilaksanakan segera sepertimana yang telah dijanjikan melalui Belanjawan 2021, dan seterusnya memberi ruang dan peluang kepada program PdPR mengambil tempat untuk dapat disusun secara lebih komprehensif dan efektif? Bukan sebaliknya direncatkan dengan segala keputusan dan tindakan pra-matang oleh Menteri Pelajaran.

Amat malang apabila kita menyaksikan semua tindak-tanduk yang dilakukan oleh kerajaan terhadap masa depan pendidikan anak-anak sepanjang tempoh pandemik Covid-19, seolah-olah tanpa perancangan, pelan tindakan dan strategi objektif yang jelas.

Saya sama sekali tidak menafikan keperluan untuk proses pembelajaran dan pengajaran normal dan bersemuka secara fizikal kembali mengambil tempat.

Namun hal yang lebih utama perlu diberikan perhatian oleh Menteri Pelajaran dan kementerian sebelum ia dilaksanakan, adalah sejauhmana kesiapsiagaan semua sekolah termasuk berkaitan prasarana persekolahan, guru dan para pelajar dalam memenuhi tuntutan SOP ketat, sepanjang pandemik Covid-19 masih gagal dibendung?

Sejauhmana kempen kesedaran SOP Kendiri telah berjaya dilaksanakan ?

Saya musykil, bahkan langsung tidak melihat inisiatif sebegini sebenarnya wujud. Bahkan apa yang dapat kita saksikan daripada semasa ke semasa adalah beberapa Menteri sendiri telah menjadi contoh terbaik dalam kegagalan mematuhi pelaksanaan SOP.

Apa akan terjadi jika sekiranya, berlaku lagi kes jangkitan Covid-19 di kalangan pelajar dan guru? Adakah tindakan lepas yakni penutupan kelas-kelas persekolahan secara tiba-tiba akan kembali dibuat, dan tidak ada sebarang penambahbaikan terhadap semua proses dan prosedur pengambilan keputusan ini?

Kita tidak mahu keputusan membuka kelas persekolahan ini sekali lagi mengundang kepada rentetan tindakan flip flop kerajaan yang menyusahkan khususnya ibu bapa dan pelajar sepertimana yang telah berlaku sebelum ini, dek kerana kegagalan yang berulang, termasuklah kegagalan kerajaan dalam memastikan kelengkapan segala keperluan para guru dan para pelajar untuk melalui proses PdPR yang berkesan.

Perikatan Nasional sedang menyerlahkan kelemahan tadbir urus yang sangat ketara akibat penutupan Parlimen yang seharusnya menjadi pusat semak imbang terhadap segala cadangan dan usul yang dikemukakan oleh pihak kerajaan. Pengkhianatan bukan sahaja telah memberi kesan buruk terhadap sistem Demokrasi Berparlimen Malaysia, tetapi kini menjalar ke setiap inci dan nadi kehidupan rakyat kebanyakan.

Sumber :