Adakah Ahli Parlimen lebih bahaya daripada pengunjung pasar malam?, soal Zahid

Adakah Ahli Parlimen lebih bahaya daripada pengunjung pasar malam?, soal Zahid

Demokrasi di Malaysia sudah dikafankan – begitu gambaran oleh Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi apabila Ahli-Ahli Parlimen tidak lagi boleh bersidang bagi menyampaikan keluhan dan isu yang dibangkitkan rakyat.

Sedangkan, katanya, akibat wabak Covid19, rakyat kini dihimpit pelbagai kemelut ekonomi dan mereka bukan hanya mahu melihat wabak itu ditangani, tetapi juga memerlukan pendapatan bagi menyediakan makanan untuk keluarga serta meneruskan kelangsungan hidup mereka.

“Saya adalah sebahagian daripada kerajaan, tetapi oleh kerana Parlimen tidak bersidang, maka jangan disekat suara rakyat yang saya menjadi lidahnya.

“Suara saya adalah nadi daripada rakyat dan ramai lagi kawan-kawan lain yang menyebutkan perkara ini kerana kalau bukan kita (wakil rakyat) yang menyuarakan suara rakyat, siapa lagi?

“Wakil rakyat yang sepatutnya duduk di Parlimen menyuarakan suara dan nadi rakyat, apabila demokrasi telah dikafankan atau sekurang-kurangnya telah disemadikan, maka apakah suara rakyat harus ditutup?” katanya dalam bual bicara bersama sebuah portal berita, malam tadi.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk turut mempersoalkan kewajaran Parlimen digantung, sedangkan banyak tempat lain dibenarkan beroperasi.

“Kenapa Parlimen tak boleh bersidang?

“Pasar malam dibuka, pasar rakyat dibuka, adakah Ahli Parlimen lebih bahaya daripada pengunjung pasar malam?” soal beliau.

Sebenarnya apa yang dibangkitkan Ahmad Zahid ini bukan perkara baru kerana ia telah diperkatakan banyak pihak sebelum ini, bahkan ia boleh didengari di mana-mana.

Selain ramai pemimpin pembangkang, termasuk Anwar Ibrahim telah membangkitkannya, di media sosial pula suara rakyat yang merungut mengenai perkara itu boleh dikata dapat dibaca setiap hari.

Kesimpulan yang diperolehi tidak lain ialah tindakan menggantung Parlimen hanyalah semata-mata untuk menyelamatkan kedudukan Muhyiddin Yassin yang semakin ditolak daripada dijatuhkan.

Cuma, apabila UMNO sendiri yang merupakan sebahagian daripada kerajaan dan mempunyai jumlah Ahli Parlimen terbesar dalam kerajaan yang meletakkan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri tidak lagi dapat menyembunyikan hakikat demokrasi telah mati dengan penggantungan Parlimen itu, ia bermakna Muhyiddin sudah tidak harus dipertahankan lagi.

UMNO dan Ahmad Zahid dalam hal ini, tidak harus lagi sekadar berani berkata, meluah rasa atau sembang kari melalui media senata-mata.

Sekarang adalah masa yang paling tepat untuk bertindak.

Oleh kerana demokrasi telah mati dan telah dikafankan, UMNO tidak harus berlengah lagi untuk menghidupkannya semula dengan cara tidak lagi membiarkan orang yang mematikan demokrasi itu terus hidup dengan kuasa dalam tangannya.

Percayalah, jika ini dapat dilakukan segera, sesuai dengan kedudukan Muhyiddin yang sudah begitu dibenci oleh rakyat, Ahmad Hamidi mampu menjulang semula nama UMNO dengan lebih baik lagi.

Tetapi, jika UMNO tidak berani berbuat apa-apa, bermakna parti itu sendiri adalah sebahagian daripada pihak yang bersubahat dalam memati atau mengkafankan demokrasi

Sumber:https://shahbudindotcom.net/2021/02/22/zahid-hamidi-sekarang-bukan-masa-untuk-sembang-kari.html