Ada patung dewa cina berbangsa Melayu? Kenapa dipanggil Datuk Gong? Ini kisah yang ramai nak tahu

Oleh INFORAKYAT

Ada patung dewa cina berbangsa Melayu? Kenapa dipanggil Datuk Gong? Ini kisah yang ramai nak tahu.

Korang mungkin selalu nampak tempat penyembahan (shrine) warna merah atau kuning yang terletak kat depan bangunan, ladang, tempat pembinaan atau rumah.

Shrine ni dibina atas tanah dan dihias dengan colok, buah nanas, air dan sebagainya.

Ada patung dewa cina berbangsa Melayu? Kenapa dipanggil Datuk Gong? Ini kisah yang ramai nak tahu

Bila jumpa shrine macam ni, kita selalunya tengok sekali imbas je. Tapi kalau korang perhati betul-betul muka patung tu… ada iras-iras orang Melayu!

Ini kerana dewa yang disembah ini majoritinya memang orang Melayu, juga dikenali sebagai Datuk Gong atau Na Tuk Kong dalam bahasa Cina.

Shrine warna merah yang selalu kita nampak.

Apa asal-usulnya Datuk Gong ni? Jom kita mula dengan sejarahnya…

Konsep Datuk Gong muncul dari campuran amalan orang Cina dan Melayu

Pemujaan Datuk Gong dikatakan mula bertapak kat Malaysia sejak awal abad ke-19 lagi.

Datuk Gong boleh dianggap sebagai dewa tempatan yang menjaga kesejahteraan, keamanan, kekayaan dan kesihatan.

Apa yang uniknya, amalan ni hanya wujud kat Malaysia, Singapura, Indonesia, Brunei dan Selatan Thailand je, atau dulunya dipanggil sebagai rantau Nusantara. Sebab tu lah, kita takkan dapat jumpa Datuk Gong kat negara China, Taiwan dan sebagainya.

Segalanya bermula pada abad ke-19 sewaktu penghijrahan rakyat China ke Asia Tenggara. Masa tu diorang bawa amalan dan kepercayaan diorang sekali.

Dalam waktu yang sama, mereka cuba menyesuaikannya dengan amalan masyarakat tempatan pada masa itu, iaitu masyarakat Melayu.

Dari segi agama masyarakat Cina, mereka dah ada Dewa Tanah yang dikenali sebagai ‘Tu Di Gong’ . Dewa ni penting sebab kebanyakan mereka adalah petani. Dan bila sampai ke Tanah Melayu, mereka nampak yang orang Melayu juga ada amalan yang sama.

Sebahagian masyarakat Melayu masa tu masih lagi percaya dengan amalan animisme. Contohnya macam bagi ancak dan memuja kubur/makam tertentu.

“Tapi bila mereka (masyarakat Cina) sampai ke sini, mereka nampak orang tempatan, orang Melayu juga menyembah dan caranya tu agak sama dengan cara mereka menyembah Tu Di Gong tadi. Apa yang dilakukan oleh orang Melayu adalah memuja kepada Datuk Keramat atau keramat worship.

Contohnya mereka percaya adanya penunggu atau roh di sesuatu kawasan itu. Jadi cara orang Melayu menyembah Datuk Keramat digabungkan dengan cara orang Cina menyembah Tu Di Gong. Maka muncullah dewa yang bersifat gabungan orang Melayu dan orang Cina. ‘Datuk’ ialah Datuk Keramat dan ‘Gong’ ialah Tu Di Gong. Maka jadi Datuk Gong.” – Dr Lee Yok Fee, pensyarah Jabatan Ekologi UPM.

Itulah permulaannya konsep Dewa Melayu yang dikenali sebagai Datuk Gong ini. Boleh dikatakan yang kepercayaan ni muncul hasil dari amalan dua bangsa yang berbeza iaitu Melayu dan Cina tapi dalam cara yang agak sama.

Seseorang yang luar biasa dalam hidupnya, ada kemungkinan dilantik jadi dewa

Siapa pulak Datuk Gong ni? Sedia maklum, Datuk/Dato adalah gelaran terhormat masyarakat Melayu kepada seseorang dan jugak gelaran kepada orang tua. Manakala, Gong pulak adalah gelaran hormat masyarakat Cina kepada dewa-dewa mereka.

Menurut seorang pensyarah yang kami interview, Datuk Gong dianggap sebagai Dewa Tanah tempatan, manakala Tu Di Gong pulak adalah Dewa Tanah yang berasal dari Tanah Besar Cina. Tapi kedudukan Datuk Gong mungkin bawah sedikit dari kedudukan Tu Di Gong tadi.

Menurutnya, masyarakat Cina percaya dengan konsep kelahiran semula (rebirth) dan konsep kejadian dewa dari kalangan manusia. Maknanya sesiapa yang banyak berbuat baik dalam hidup kemungkinan besar akan diangkat menjadi dewa selepas mereka meninggal dunia.

“Maksudnya, jika ada sesiapa yang memiliki kedudukan luar biasa atau semasa dia hidup dia ada kuasa yang luar biasa atau seorang hero, seorang bomoh yang kuat kuasanya. Bila mereka meninggal, roh itu akan disembah.

Tapi pada peringkat awal, memang bermula dengan roh orang Melayu. Sebab itu, kita boleh nampak mereka ukir patung itu dalam bentuk orang Melayu.” – Dr Lee Yok Fee, pensyarah Jabatan Ekologi UPM.

Seperti yang kita tau, majoriti masyarakat Cina (kecuali Islam, Kristian & Ateis) menganut Chinese Folk Religion, di mana mereka menyembah nenek moyang serta dicampurkan dengan ajaran Buddhism, Confucianism atau Taoisme.

Sebab itu lah, kita boleh nampak dewa yang ada dalam Buddhism juga disembah dalam Taoisme. Dan apabila dikaitkan dengan amalan orang Melayu pada masa dulu, ia berkaitan rapat dengan pemujaan ‘semangat’ terhadap sesuatu tempat yang dianggap keramat.

Walaupun Dewi Guan Yin berasal dari agama Bhudda. Tapi ia jugak disembah dalam agama Tao dan Confucian. Imej dari asisbiz.com
Ada jugak sultan yang diiktiraf sebagai Datuk Gong

Pada peringkat awal, kebanyakan Datuk Gong yang disembah bukan dalam bentuk patung, tapi tablet (papan yang ditulis namanya), pokok tertentu, busut atau batu. Tapi disebabkan berlakunya peredaran zaman, patung mula diukir.

“Ada jugak batu yang diikat dengan kain kuning, sebab mereka percaya roh itu ada dalam batu tersebut. Kemudiannya batu pun tak ada, tapi busut pula, ia pun sama kepercayaannya. Selain tu ada jugak tablet, yang mana ukiran kayu ada tertulis nama Datuk Gong.

“Tapi sekarang ni ada pula patung dan wajahnya hampir semuanya sama. Jadi boleh pilihlah nak yang pakai tongkat ke atau pegang keris ke. Itu terpulang.” – Dr Lee Yok Fee, pensyarah Jabatan Ekologi UPM.

Disebabkan kebanyakan Datuk Gong ni adalah orang Melayu maka patungnya pun diukir dengan ciri-ciri orang Melayu – bersongkok, berkopiah, samping, tengkolok, baju Melayu dan sebagainya. Datuk Gong jugak bukan satu je sebenarnya, tapi Datuk Gong kat tempat-tempat tertentu akan ada nama yang lain, tarikh hari jadi berbeza dan personaliti berbeza.

Walaupun Datuk Gong selalunya kita nampak kat shrine yang kecil, ada juga Datuk Gong yang ada tokong sendiri.

Jangan terkejut kalau ada tokong khas Datuk Gong yang berasal dari sultan Melayu. Tokong tu terletak kat Banting, Selangor yang mana Sultan Selangor, Sultan Abdul Samad dianggap sebagai dewa. Tokong ni jugak dah berusia lebih 100 tahun.

Di tengah adalah Datuk Sultan Abdul Samad dan kat sebelah: Datuk Tengku Raja Rahman/Rahmat dan Datuk Raja Ali. Imej dari presenttensemedia.org
Korang jugak boleh tengok yang ni:

Datuk Gong ni tak terhad kat lelaki je. Imej dari azzardd.

Dato Hj Wahab, Dato Panglima Hassan dan Dato Abu Hassan, kat satu shrine di Klang Selangor. Imej dari azzardd.

Datuk Md Hitam dan lukisannya kat Genting Highland. Imej dari z14.invisionfree.com

Dato Hj Muhammad (tengah) dan beberapa dewa lain. Imej dari azzardd.

Datuk Makitoh dan Datuk Nenek, di Klang Selangor. Imej dari azzardd.
Selain tu, ada jugak nama Datuk Gong yang berdasarkan warna macam:

Datuk Panglima Hitam
Datuk Panglima Hijau
Datuk Panglima Kuning
Datuk Panglima Putih
Datuk Panglima Merah

Datuk Gong berdasarkan warna-warna mereka. Ada pendapat yang kata Datuk Hijau paling garang. Imej dari courses.nus.edu.sg
Warna-warna ni ada maksud yang tersendiri. Warna hijau melambangkan flora dan fauna dan warna kuning melambangkan kesejahteraan. Oleh itu, dari apa yang kita nampak ni, dah jelas yang kebanyakkan Datuk Gong yang disembah itu adalah berasal dari orang Melayu.

Ada jugak Datuk Gong yang bukan Melayu. Contohnya di Broga, iaitu ‘Sak Dato’ yang berasal dari orang Asli. Di Kedah pula, ada Datuk Che Pu Long (Siam), Datuk Ah Chong (Cina) dan Datuk Mutu (India).

Tak boleh hidangkan makanan tak halal kat Datuk Gong Melayu

Dalam penyembahan Datuk Gong, selalunya lilin berwarna putih digunakan menggantikan merah, serta colok dan kemenyan. Disebabkan kebanyakkan Datuk Gong ni adalah orang Melayu, para penganutnya akan memastikan mereka bagi makanan yang halal.

Antara makanan yang popular adalah rendang ayam, kari kambing/ayam, pulut kuning, kopi O, daun sirih dan rokok daun (ada jugak yang bagi sate, nasi lemak & sebagainya). Makanan yang halal ni bukan je terhad selain khinzir atau arak, tapi ayam, kambing atau lembu tu jugak mestilah betul-betul halal, maksudnya disembelih secara Islam.

Kalau mereka bagi juga bagi makanan tak halal (buat Datung Gong yang dianggap Melayu), Datuk Gong dipercayai akan marah dan orang tu akan ditimpa bala.

Macam mana nak tau kalau satu-satu tempat tu ada Datuk Gong ataupun tak? Ada beberapa cara:

“Berdasarkan kajian, asal usul bagaimana mereka tahu di situ perlu bina satu tempat untuk memuja adalah pertama berdasarkan pengalaman. Mereka melihat dengan mata kasar, terutamanya pada waktu malam. Contohnya mereka nampak banyang putih, lalu di situlah adanya ‘roh’ itu.

Kedua ialah melalui mimpi, iaitu akan ada roh masuk dalam mimpi mereka dan beritahu: ‘bina satu shrine untuk saya ditempat ini, saya Datuk’. Lalu roh itu beritahu namanya. Ketiga pula mereka akan cuba cari orang tertentu, dan orang tu akan panggil roh tersebut. Kalau ada, ada lah. Kalau tak ada, maka tak ada lah.” – Dr Lee Yok Fee, pensyarah Jabatan Ekologi UPM.

Tokong Lian He kat Klang, Selangor ada ciri-ciri Melayu dan Islam. Datuk Gong kat sini dikenali sebagai Datuk Hj Keramat & Datuk Mustapha. Imej dari azzardd.
Ada sambutan hari jadi untuk Datuk Gong

Selalunya, bila penganut nak berhubung dengan Datuk Gong, mereka akan gunakan pengantara (juga dikenali sebagai medium), iaitu bomoh atau orang-orang tertentu. Sewaktu upacara memanggil Datuk Gong, bomoh akan mula berkelakuan pelik atau berkhayal (trance), sebagai tanda yang Datuk dah datang. Bila Datuk dah masuk badan medium tadi, medium mulalah cakap bahasa Melayu, berjalan macam orang tua dan sebagainya.

Ketika ini lah, mereka akan sambut hari jadi Datuk Gong tadi dengan macam-macam makanan, persembahan dan sebagainya. Merekajugak boleh mintak sesuatu kat Datuk tu, macam berikan keselamatan, keamanan dan kesihatan. Tapi benda yang selalunya diminta adalah nombor ekor.

Antara syarat orang yang nak mintak bantuan Datuk tu pulak adalah dia tak boleh makan khinzir sekurang-kurangnya sehari sebelum upacara. Bagi wanita wang datang haid pulak, diorang dianggap tak suci dan tak boleh sentuh Datuk, terutama sekali bahagian kepala.

Upacara ni bukan terhad masa birthday Datuk Gong je. Ada juga medium yang jalankannya pada hari-hari tertentu macam setiap malam Jumaat, hari pertama dan ke 15 dalam kalendar Cina, Hari Raya Puasa dan Raya Haji.
Kepercayaan terhadap Datuk Gong ni boleh dikatakan muncul hasil dari interaksi budaya dan amalan dari dua bangsa iaitu Cina dan Melayu. Walaupun, dua bangsa ini pernah melalui zaman hitamnya, tapi nampaknya kerpercayaan terhadap Datuk Gong masih kukuh bertahan hingga kini.

Oleh itu, bersempena dengan musim perayaan ini, marilah kita sebagai rakyat Malaysia yang cintakan keamanan bersama-sama bersatu padu membina satu bangsa Malaysia yang terbuka dan saling menghormati.

BACA:

Macam ada ‘orang dalam’ yang bocorkan waktu penghantaran stok emas, wanita ini rugi RM1.8 juta emas 7kg kena rembat

Risau anak lelaki dianiaya lepas kahwin, bapa ‘grill’ calon menantu siap tanya kalau kakak gaduh dengan adik siapa minta maaf dulu