Ada dalang yang beri arahan pada Wan Saiful, kata Pemuda UMNO Kelantan

Ada dalang yang beri arahan pada Wan Saiful, kata Pemuda UMNO Kelantan

Pemuda Umno Kelantan beranggapan gesaan anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Wan Saiful Wan Jan, supaya Umno perlu banyak berkorban demi Perikatan Nasional (PN) seperti didalangi individu lain di sebaliknya.

Ketuanya, Noor Hariri Mohamed Noor berkata Wan Saiful selaku anggota MPT Bersatu tidak harus memberi komen mengenai parti lain, sebaliknya harus menyokong penuh presiden Bersatu membersihkan ejen-ejen Pakatan Harapan (PH) di dalamnya.

“Kita beranggapan kenyataan Wan Saiful ini ada dalang mengarahkan di belakangnya, apabila seolah-olah dia ingin memberi tekanan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam membuat keputusan.

“Kita yakin Muhyiddin bersama Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang sudah mencapai kata putus secara kolektif hasil rundingan yang bijaksana,” katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Wan Saiful yang berpendapat PN berpotensi menjadi lebih stabil berbanding PH dan lebih baik daripada BN.

Menurut Wan Saiful, untuk mencapai kestabilan itu, Umno perlu banyak berkorban dan tidak lagi boleh mendominasi gabungan itu seperti yang mereka lakukan dalam BN.

Langkah berkenaan, katanya, akan membolehkan PN dibentuk dengan lebih baik berbanding gabungan politik yang ada sebelum ini.

“Ada sebilangan kecil tokoh Umno yang kelihatan tidak selesa dan ini memang tidak pelik. Ini kerana dalam BN mereka adalah parti dominan tetapi dalam PN mereka akan hilang status dominan itu.

“Kesaksamaan dalam PN akan menjadikan ia lebih baik daripada BN. Tetapi sekarang ini, bagi saya, Umno perlu diberi masa dan ruang untuk menguruskan transisi,” katanya.

Noor Hariri berkata, isu kerjasama antara parti itu perlu diserahkan kepada pimpinan tertinggi parti masing-masing dalam menentukan hala tuju terbaik demi kepentingan negara.

“Serahkan kepada presiden parti masing-masing dalam menentukan formula terbaik pembahagian kerusi dan tempat dengan seadil-adilnya.

“Kenyataan bersifat provokasi hanya akan merugikan kita semua dan memberi kelebihan kepada lawan yang hanya menunggu perpecahan kita.

“Kami juga menyeru agar pimpinan-pimpinan lain baik Umno, Bersatu dan PAS supaya tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan yang boleh mengeruhkan hubungan sesama sendiri.

“Kita kena kekal fokus untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Ahli parti bersama rakyat Malaysia perlu bersyukur kerana matlamat utama untuk menyingkirkan PH dan DAP daripada tampuk pimpinan negara telah berjaya,” jelasnya.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/530468

COMMENTS