Menulis telah menjadi cara manusia menyampaikan maklumat, idea, dan merakam sejarah sejak beribu tahun.
Kini, kerjaya penulisan membuka peluang bagi sesiapa yang berbakat dalam pelbagai bidang seperti kewartawanan, penulisan kreatif, atau penulisan kandungan.
Jika penulisan anda berkualiti, rezeki dalam bidang ini sentiasa ada.
Bagaimana Menulis dengan Baik?
Seorang tokoh penulisan yang patut dijadikan inspirasi ialah Abdul Samad Muhammad Said, atau lebih dikenali sebagai A. Samad Said.
Dilahirkan pada 9 April 1935 di Kampung Belimbing Dalam, Melaka, beliau menerima gelaran Sasterawan Negara pada 1985.
Kerjayanya bermula sebagai wartawan dan kemudian berakhir sebagai Ketua Pengembangan Sastera di New Straits Times sebelum menjadi penulis sepenuh masa.
Pak Samad menghasilkan karya terkenal seperti Salina, Hujan Pagi, Langit Petang, dan Daerah Zeni, serta menguasai genre seperti novel, puisi, cerpen, drama, dan esei. Antara koleksi eseinya, Ilham Di Tepi Tasik penting sebagai panduan buat penulis baru.
Menulis dengan Ilham Persekitaran
Pak Samad menekankan pentingnya alam sekitar dalam penulisan, dengan mencontohkan Ernest Hemingway yang berhijrah ke Eropah untuk mencari ilham dan Arena Wati yang berkarya di Malaysia. Semasa menulis Cinta Fansuri, Pak Samad mengutip ilham dari Sarawak.
Seorang penulis harus peka terhadap persekitarannya, sambil mengelak dari situasi yang menghalang kreativiti. Pilih persekitaran yang menyokong kebebasan dan kejujuran dalam penulisan.
Hati yang Jernih dalam Penulisan
Pak Samad berkata, “Seniman berpijak pada bumi hati nurani lebih daripada bumi ideologi.” Penulisan dengan unsur seni memerlukan penerokaan jiwa, bukan sekadar maklumat. Penulis harus mempunyai moral yang kukuh dan hati yang jernih untuk menghasilkan karya bermakna. Kepekaan ini juga membantu menulis dengan kompas yang jelas, lebih sensitif terhadap ketidakadilan, dan memperjuangkan martabat insan.
Baca, Baca, Baca, Kemudian Tulis
Pak Samad menekankan pentingnya membaca sebelum menulis, dengan menegaskan, “Empat kali baca baru menulis.” Menurutnya, sejak 1950-an lagi penulis digalakkan membaca karya agung sebelum menulis sendiri.
Penulis yang bercita-cita menulis politik, misalnya, perlu memahami tokoh seperti Francis Fukuyama dan Niccolo Machiavelli, manakala penulis ekonomi perlu mengenali pemikir seperti Karl Marx dan Adam Smith.
Untuk menjadi penulis yang hebat, budaya membaca harus dipupuk sejak awal. Kenalilah penulis agung dan karya mereka. Penulis yang kaya maklumat dan perspektif mampu menulis dengan ketajaman yang sukar diganti oleh teknologi atau kecerdasan buatan.
BACA: Adakan ‘pertemuan’ dengan KP SPRM di Genting Highland, KP Kastam perjelas kisah sebenar