Lima sekawan lemas tragedi di empangan ketika rakam ‘content’ media sosial

Oleh MUHAMMAD KHAIRY JALALUDDIN

Satu kegembiraan yang bertukar menjadi tragedi menimpa sekumpulan tujuh pemuda yang ingin merakam video untuk media sosial.

Lima daripada mereka lemas di Empangan Kondapochamma Sagar di Siddipet, India, pada Sabtu, lapor Times of India.

Menurut Pesuruhjaya Polis Siddipet, B Anuradha, sekumpulan pemuda tersebut memasuki empangan pada waktu tengah hari dengan niat untuk merakam video.

Namun, malang menimpa apabila lima daripada mereka tidak dapat mengawal diri dan terkapai-kapai di dalam air kerana tidak tahu berenang.

Dua orang lagi cuba berusaha untuk menyelamatkan mereka, namun usaha tersebut gagal.

Lima sekawan lemas tragedi di empangan ketika rakam ‘content’ media sosial

Dalam panik, mereka meminta bantuan pihak berkuasa.

Operasi pencarian dilakukan oleh penyelam profesional dan pada pukul 7 malam, kesemua mayat lima mangsa berjaya ditemukan.

Kesemua mangsa yang terkorban berusia antara 17 hingga 20 tahun. Tragedi ini menyedihkan, meninggalkan kesan mendalam buat keluarga dan sahabat handai.

BACA: Tiada masjid dalam montaj tahun melawat Malaysia, ini respon padu Menteri Agama