Membagikan foto bersama pasangan di media sosial mungkin dianggap biasa bagi sesetengah orang.
Namun, bagi seorang wanita, tindakan menunjukkan kebahagiaan melalui gambar-gambar tersebut ternyata mengundang cabaran dalam rumah tangganya.
Dalam satu perkongsian di laman Threads, wanita ini menceritakan pengalamannya di mana setiap kali dia berkongsi gambar suaminya di media sosial, pasti ada pergaduhan kecil yang mengikuti.
“Dulu, hampir setiap kali saya muat naik gambar suami, pasti ada saja pergaduhan kecil yang timbul,” luahnya.
Namun, segalanya berubah apabila dia menyedari tentang kewujudan penyakit ain (mata), yang sering dikaitkan dengan pandangan iri hati atau hasad dengki seseorang yang boleh memberi mudarat kepada individu yang dilihatnya.
Setelah membaca lebih lanjut tentang perkara ini, wanita itu membuat keputusan untuk berhenti daripada mengekspos suaminya di media sosial.
“Lepas saya baca tentang penyakit ain, saya mula cuba tak expose suami. Alhamdulillah, masalah kami semakin berkurang,” tambahnya, sambil menyebut bahawa pertengkaran mereka hanya sekadar “gaduh-gaduh manja” selepas itu.
Walaupun begitu, wanita ini mengakui kadang-kala dia akan sengaja memuat naik gambar bersama suaminya, terutama jika sudah lama mereka tidak bergaduh.
“Kalau dah lama tak bergaduh, saya sengaja je post gambar berdua. Tapi selepas tu, mesti bergaduh lagi!” katanya dengan nada berseloroh.
“Ada tak anda semua yang macam ni? Atau tak perasan? Atau ‘ain’ tak nak dekat dengan anda?”
Dengan keberkesanan pendekatan ini, dia kini memilih untuk hanya memuat naik sebahagian wajah suaminya di media sosial.
Hantaran wanita ini mendapat pelbagai reaksi daripada netizen, terutamanya golongan isteri. Rata-rata mereka berkongsi pengalaman hampir serupa, di mana selepas memuat naik gambar pasangan, mereka turut mengalami pergaduhan.
“Macam betul la apa awak cakap. Saya pun pernah post gambar suami selepas dia belanja makan. Tapi lepas post gambar, mesti ada gaduh. Mungkin ada yang tak suka melihat kebahagiaan kami,” komen salah seorang netizen.
BACA: Lebih 700 bekas pekerja failkan saman terhadap McDonald’s, apa yang berlaku?