Bekas juara UFC, Khabib Nurmagomedov, terpaksa berdepan situasi memalukan apabila dihalau dari penerbangan Frontier Airlines
selepas terlibat dalam pertikaian dengan kru kabin mengenai tempat duduk di barisan keluar kecemasan.
Insiden yang berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Harry Reid, Las Vegas, menjadi perhatian ramai apabila kru kabin mempersoalkan kesediaan Khabib untuk membantu penumpang lain dalam situasi kecemasan.
Dalam peraturan penerbangan, penumpang di barisan keluar kecemasan perlu memenuhi beberapa syarat, termasuk kebolehan berbahasa Inggeris dengan baik.
Dalam rakaman video yang tular, pramugari memberi pilihan kepada Khabib untuk menukar tempat duduk atau meninggalkan pesawat.
Namun, Khabib tegas menolak pilihan tersebut, menegaskan bahawa beliau telah mematuhi semua keperluan termasuk membuktikan kefasihan bahasa Inggeris semasa di kaunter daftar masuk.
Walaupun diberi alternatif untuk duduk di tempat lain atau menaiki penerbangan seterusnya,
Khabib enggan berganjak. Akibatnya, beliau bersama rombongannya diiring keluar dari pesawat oleh kru kabin.
Difahamkan, Khabib sedang dalam perjalanan ke Los Angeles untuk menyokong rakan sepasukannya dalam acara UFC 311 yang dijadualkan berlangsung pada 18 Januari.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Frontier Airlines mahupun Khabib mengenai insiden ini. Kejadian ini terus mencetuskan perbincangan di media sosial, dengan ramai yang mempersoalkan sama ada tindakan pihak penerbangan itu wajar atau tidak.
BACA;Sanggup berhutang demi kereta baharu BF,wanita akhirnya mengaku bodoh, terus minta putus