Cukuplah manjakan dan beri keistimewaan kepada Najib – Kadir Jasin

Oleh MOHD FAHMI MUSTAQIM

Di tengah kontroversi mengenai titah adendum yang memberi kelonggaran kepada bekas Perdana Menteri Najib Razak untuk menjalani baki hukuman di rumah,

wartawan veteran A Kadir Jasin mengimbau kembali kes seorang “banduan istimewa” yang pernah menjadi tumpuan pada era 1980-an.

Kadir merujuk kepada kes Abdullah Ang, seorang ahli perniagaan yang mendapat layanan luar biasa semasa dipenjara.

Abdullah yang merupakan penjenayah kolar putih ini, diberi kebenaran untuk keluar penjara dan berkebun. Perkara itu didedahkan oleh akhbar The Malay Mail pada tahun 1989.

“Abdullah Ang, seorang banduan yang juga seorang ahli perniagaan, mendapat layanan istimewa sehingga dibenarkan berkebun di luar penjara.

Cukuplah manjakan dan beri keistimewaan kepada Najib - Kadir Jasin

Itu diketahui umum kerana laporannya disiarkan oleh The Malay Mail pada tahun 1989,” kata Kadir dalam satu hantaran di media sosial.

Menurut laporan tersebut, Abdullah yang sepatutnya menjalani hukuman di ladang orkid yang dikendalikan oleh pihak penjara di Negeri Sembilan, dilaporkan menjalankan perniagaan di Kuala Lumpur. Lebih mengejutkan, sel penjaranya dilengkapi dengan perabot mewah, termasuk karpet, peti sejuk, televisyen, alat pemain video, dan katil air.

Kadir juga menimbulkan persoalan mengenai kebiasaan memberi kelonggaran kepada banduan seperti Najib, yang kini diberi peluang menjalani hukuman di rumah. Beliau mengingatkan bahawa tiada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan perkara seperti ini.

“Jika banduan boleh diberi layanan sebegitu, apakah sebenarnya yang sedang berlaku? Negara akan huru-hara jika pemimpin negara terus bertindak sesuka hati demi kepentingan golongan elit dan bangsawan,” tegas Kadir.

Menurut Kadir, Najib sendiri telah mendapat layanan istimewa di mahkamah, apabila keputusan dibuat untuk menjalani hukuman bagi 10 pertuduhan serentak. Kadir menyifatkan tindakan mahkamah itu sebagai bentuk “timbang rasa” yang luar biasa.

“Di mahkamah pun, dia sudah diberikan layanan istimewa. Hukuman penjara 12 tahun dipendekkan menjadi hanya enam tahun dan denda yang sepatutnya RM210 juta menjadi hanya RM50 juta. Jadi, nak bersolidariti dengan apa lagi?” kata Kadir.

Kadir menegaskan bahawa memberi kelonggaran atau layanan istimewa kepada individu tertentu hanya akan menimbulkan ketidakpuasan dalam kalangan rakyat dan merosakkan keadilan.

BACA; Restoran sengaja buat orang islam keliru, kantoi guna pelekat ‘Dapur Muslim’ kerana tiada sijil Halal