Restoran sengaja buat orang islam keliru, kantoi guna pelekat ‘Dapur Muslim’ kerana tiada sijil Halal

Oleh JUNITA ABD RAHIM

Seorang pemilik restoran di Balakong, yang baru-baru ini diserbu oleh pihak berkuasa, menjelaskan bahawa penggunaan pelekat

“Dapur Muslim” di premisnya bukan bertujuan untuk menarik perhatian pelanggan Muslim, tetapi lebih kepada permintaan pelanggan itu sendiri.

Serbuan yang dilakukan sekitar jam 12 tengah hari oleh agensi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bersama

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ini berlaku setelah restoran tersebut didapati tidak mempunyai sijil halal yang sah.

Dalam kejadian itu, dua tukang masak dilaporkan melarikan diri, manakala seorang pelayan wanita warga asing yang berusia sekitar 30-an memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dan menghubungi pemilik restoran untuk memberikan keterangan.

Restoran sengaja buat orang islam keliru, kantoi guna pelekat 'Dapur Muslim' kerana tiada sijil Halal

Pemeriksaan lanjut oleh pihak Kosmo! mendapati restoran tersebut menggunakan dua set menu yang berbeza, dan salah satunya mengandungi hidangan yang tidak halal.

Menurut Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah KPDNHEP Kajang, Ruhaizad Zahiri, serbuan itu dilakukan setelah pemantauan selama seminggu berikutan aduan daripada orang ramai.

Katanya, premis tersebut menggunakan istilah “Dapur Muslim” dalam usaha untuk menunjukkan makanan yang disediakan kononnya sesuai untuk orang Islam.

“Di dalam pemeriksaan ini, kami mendapati beberapa kesalahan di bawah peraturan JAIS dan Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 kerana premis ini tidak memiliki sijil halal yang sah,” jelasnya.

Siasatan lanjut akan dilakukan oleh JAIS di bawah Akta Perihal Dagangan 2011, manakala pihak KPDNHEP juga melakukan pemeriksaan berkaitan penggunaan barangan kawalan seperti minyak masak, gula, dan tepung gandum.

Secara keseluruhan, pihak KPDNHEP melaporkan bahawa premis ini mematuhi peraturan berkaitan kawalan barangan tersebut.

Bagi mengelakkan kekeliruan, semua banner dan pelekat “Dapur Muslim” yang dipamerkan di restoran yang baru beroperasi empat bulan itu telah diturunkan.

“Jika didapati bersalah, pemilik restoran boleh dikenakan tindakan undang-undang seperti denda, kompaun, atau pendakwaan di mahkamah,” tambah Ruhaizad.

Beliau juga berharap serbuan ini akan memberi peringatan kepada peniaga restoran untuk lebih berhati-hati dan mendapatkan maklumat yang sah mengenai perundangan halal sebelum menjalankan perniagaan.

“Selain itu, kami juga menggalakkan orang ramai untuk menjadi mata dan telinga kepada agensi penguatkuasa dalam memastikan hak pengguna terjamin,” kata Ruhaizad, sambil mengingatkan peniaga agar tidak menggunakan istilah yang boleh mengelirukan pengguna Islam sekiranya tidak mempunyai sijil halal yang sah.

BACA: Kecoh penemuan rangka di kuarters kerajaan rupanya dah 2 tahun hilang!