Pada tahun ini, lebih 402,000 calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024, yang dijalankan di 3,337 pusat peperiksaan di seluruh negara.
Bagi ibu bapa dan penjaga, tentunya mereka turut merasa debaran yang sama, mendoakan kejayaan anak-anak mereka dengan membaca surah Yasin dan berdoa semasa mereka menjawab peperiksaan.
Namun, satu video yang tular di TikTok baru-baru ini menarik perhatian ramai apabila memaparkan seorang nenek yang dengan penuh kesetiaan dan kasih sayang, duduk menunggu cucunya yang sedang menduduki peperiksaan SPM di sekolah.
Video yang dikongsikan oleh seorang guru ini menunjukkan seorang warga emas yang berada di luar dewan peperiksaan.
Nenek tersebut kelihatan tenang, setia menunggu cucunya yang sedang menghadapi peperiksaan penting itu.
Apa yang lebih menyentuh hati adalah apabila warga emas tersebut dilihat membaca surah Yasin dan mengalunkan zikir sepanjang peperiksaan berlangsung, sebagai doa dan sokongan untuk cucunya.
“Cucu dalam dewan peperiksaan SPM, nenek menunggu di luar baca Yasin dan zikir untuk cucu,” tulis guru berkenaan dalam perkongsian video tersebut.
Tindakan tulus nenek tersebut membuatkan ramai netizen sebak, terharu dengan kesungguhan dan kasih sayang yang ditunjukkan demi cucunya. Apa yang lebih memilukan, ibu kepada pelajar tersebut difahamkan telah meninggal dunia pada Oktober lalu. Perkara ini menambah lagi rasa pilu di kalangan netizen, bahkan ada yang tidak dapat menahan air mata.
“Setakat baca Yasin tu aku dah tahan, tapi bila tengok makcik tu urut kaki sebab kebas, terus jadi air mata aku mengalir macam air terjun Victoria Falls,” ujar seorang netizen yang turut terkesan.
Melihat nenek tersebut yang juga mengurut kakinya yang lenguh kerana terlalu lama menunggu, netizen tidak dapat menahan perasaan dan turut mendoakan agar cucunya diberkati dengan keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM ini.
BACA: 2 beradik cari ibu kandung lama menghilang, rupanya dah 3 tahun meninggal dunia