Saling berbalas kenyataan di media, pelawak Atu Zero menepis dakwaan kononnya hubungan dengan abangnya, Sharif, tegang atau bermasam muka.
Menurut Atu atau nama sebenarnya Sharif Kunal Doli Sharif, 33, hubungan mereka sebenarnya masih baik dan penuh harmoni.
“Kami okay sahaja. Biasalah, dekat media sosial kena buat nampak gempak macam bergaduh betul-betul,” kata Atu kepada mStar.
Atu turut menjelaskan bahawa setiap kali mereka berjumpa secara peribadi, semuanya berjalan lancar tanpa sebarang rasa dendam atau perselisihan.
“Tiada apa-apa dendam antara kami. Hubungan adik-beradik tidak akan terputus, dan kami masih berkomunikasi dengan baik,” katanya.
Sebelum ini, Sharif atau nama penuhnya Sharif Kadir Doli Sharif, 35, dalam temu bual Raja Lawak Podcast menceritakan kisah hidup Atu, termasuk detik sukar apabila Atu hampir terjerumus ke kancah dadah kerana salah pilih kawan.
Atu bagaimanapun menyifatkan kenyataan itu mungkin dibuat tanpa Sharif sedar impaknya.
Sharif kemudian tampil memohon maaf sekiranya kisah itu melukakan hati Atu, sambil menjelaskan bahawa niatnya hanyalah untuk memberi inspirasi kepada orang lain.
Zero Kini Fokus Muzik, Lagu Debut Dilancarkan Januari Ini
Dalam perkembangan lain, Atu meluahkan rasa teruja dengan pelancaran single pertama kumpulan Zero yang dijadualkan keluar bulan Januari ini.
“Nak buat lagu ini bukan mudah. Rupanya banyak cabaran yang kami kena lalui sepanjang proses ini,” katanya sambil menambah bahawa muzik menjadi langkah strategik mereka untuk terus relevan dalam industri hiburan.
“Insya-Allah, bulan ini lagu debut kami akan keluar. Kami dah tak masuk pertandingan komedi, jadi ini adalah salah satu cara untuk kekal aktif dan dihargai peminat,” jelas Atu penuh harapan.
Kumpulan Zero yang sebelum ini sinonim dengan pentas komedi kini bersedia untuk mengorak langkah baharu dalam bidang seni suara, sekaligus membuktikan versatiliti mereka kepada peminat setia.
BACA: Restoran tak pernah basuh periuk, guna kuah sup yang sama sejak 50 tahun berniaga