Sebagai pelakon bertudung, Erysha Emyra sering berhadapan dengan pelbagai persepsi, terutama mengenai keterbatasan dalam watak yang ditawarkan.
Namun, pemenang Artis Baharu Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular ke-36 (ABPBH36) ini optimis dengan kemampuan dirinya untuk terus mencabar kebolehan lakonannya.
“Saya rasa pelakon bertudung juga boleh versatil. Memang ada had tertentu, tetapi saya tak mahu jadikan itu alasan.
Saya ingin mencuba watak-watak yang berbeza, seperti antagonis.
Dalam realiti, tak semua orang bertudung itu baik, jadi kita boleh gambarkan sisi yang berbeza,” katanya dengan penuh semangat.
Impian Jadi Pelakon Aksi
Selain mencuba watak antagonis, Erysha juga menyimpan hasrat untuk melakonkan watak aksi.
“Saya nak cuba watak aksi. Orang selalu fikir wanita bertudung lembut dan lemah, tapi sebenarnya saya agak ‘ganas’ juga. Watak aksi adalah salah satu dalam senarai impian saya,” katanya sambil ketawa kecil.
Drama Komedi Pertama dan Cabaran Watak Kursyiah
Erysha kini tampil dalam drama komedi Ofis Politik arahan Wan Alauddin Wan Zainuddin. Dalam drama tersebut, dia memegang watak Kursyiah, seorang karakter yang dianggap paling “normal” dalam pejabat penuh ragam.
“Walaupun normal, Kursyiah tetap ada sisi kelakar kerana ini drama komedi. Tapi watak ini sangat mencabar kerana memerlukan tenaga yang tinggi. Ada hari kami terpaksa penggambaran dari 9 pagi hingga 5 pagi keesokannya. Penat memang penat, tapi saya kena kekalkan tenaga sepanjang masa,” ujarnya.
Sebagai pengalaman pertama dalam komedi, Erysha yakin drama ini berjaya menonjolkan sisi berbeza dirinya.
“Ada yang tak sangka saya boleh buat watak kelakar. Alhamdulillah, kalau penonton suka, saya memang nak cuba lagi watak sebegini,” tambahnya.
Selektif Namun Terbuka
Sebagai pelakon yang semakin kukuh namanya, Erysha kini lebih selektif dalam memilih projek. Namun, dia masih terbuka untuk mencuba pelbagai genre dan watak baharu.
“Saya selektif kerana jadual yang semakin padat, bukan sebab memilih hero atau faktor lain. Bagi saya, semua pelakon layak diberi peluang.
Kalau produksi dah pilih seseorang, pasti ada sebabnya. Saya hanya fokus membawa watak saya sebaik mungkin,” katanya dengan rendah hati.
Harapan untuk 2025
Menginjak tahun baharu, Erysha menyimpan doa dan harapan untuk dirinya dan semua.
“Saya harap tahun 2025 membawa rezeki yang melimpah untuk semua orang. Semoga semuanya berjalan lancar, insya-Allah,” katanya menutup perbualan.
Dengan sikap optimis dan dedikasi Erysha terhadap dunia lakonan, tidak mustahil impiannya untuk mencuba pelbagai watak dan genre bakal menjadi kenyataan.