Ini jarak tempoh masa kesalahan khalwat punca lelaki jadi individu pertama disebat dikhalayak ramai

Oleh CHE HUSNA KAMARUZZAMAN

Hukuman sebat terhadap seorang tukang rumah yang didapati bersalah kerana berulang kali berkhalwat akan dilaksanakan selepas pemeriksaan kesihatan dilakukan.

Difahamkan, Mohd Affendi Awang, 42, akan menjalani pemeriksaan kesihatan setibanya di Masjid Al-Muktafi Billah Shah petang ini.

Beliau akan dibawa dari Penjara Terbuka Marang oleh pegawai penjara, dengan diiringi anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekitar jam 2.45 petang.

Menurut seorang jurucakap Mahkamah Syariah yang enggan namanya disiarkan, pemeriksaan kesihatan akan dilakukan oleh sepasukan pegawai Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) di Dewan A’asim.

“Hukuman enam sebatan akan dijalankan selepas pegawai perubatan mengesahkan tahap kesihatan tertuduh berada dalam keadaan baik.

Ini jarak tempoh masa kesalahan khalwat punca lelaki jadi individu pertama disebat dikhalayak ramai

Selepas hukuman selesai, tertuduh akan menjalani pemeriksaan kesihatan sekali lagi sebelum dibawa semula ke Penjara Terbuka Marang,” katanya.

Mohd Affendi merupakan individu pertama di Terengganu yang dikenakan hukuman enam sebatan di khalayak ramai atas kesalahan berkhalwat berulang.

Hukuman tersebut diputuskan oleh Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail, selepas tertuduh mengaku bersalah mengikut Seksyen 31(a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022.

Selain hukuman sebat, Mohd Affendi turut didenda RM4,000 atau berdepan hukuman enam bulan penjara jika gagal membayar denda tersebut.

Pada 11 Julai tahun lalu, beliau pernah dikenakan denda RM2,700 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Rendah Syariah Daerah Kemaman atas kesalahan serupa.

Kesalahan terbaharu dilakukan pada 25 Januari lalu, dan pada 19 Februari, Mahkamah Tinggi Syariah menjatuhkan hukuman empat sebatan, denda RM3,000 atau enam bulan penjara jika denda tidak dibayar.

Sementara itu, tinjauan di Masjid Al-Muktafi Billah Shah mendapati kawasan tersebut mulai dipenuhi orang ramai. Lebih 50 wartawan dan jurugambar pelbagai agensi dilihat berkumpul di perkarangan masjid.

Beberapa pegawai penjara turut kelihatan, manakala pegawai polis trafik memasang tali penghadang di laluan masuk menuju ke Dewan A’asim.

BACA: Kesalahan khalwat berulang, tukang rumah jalani 6 sebatan di khalayak ramai hari ini