Kesalahan khalwat berulang, tukang rumah jalani 6 sebatan di khalayak ramai hari ini

Oleh INFORAKYAT

Suasana sekitar kawasan Masjid Al-Muktafi Billah Shah di sini masih tenang dan terkawal menjelang pelaksanaan hukuman sebat ke atas seorang tukang rumah selepas solat Jumaat, hari ini.

Hasil tinjauan setakat jam 11 pagi tadi mendapati tiada laluan ke Masjid Al-Muktafi Billah Shah yang ditutup kepada lalu lintas, manakala orang ramai bebas bergerak di sekitar kawasan masjid.

Selain itu, aktiviti di masjid tersebut berjalan seperti biasa, termasuk kuliah Jumaat yang dihadiri kira-kira 120 jemaah.

Bagaimanapun, beberapa petugas dilihat berkawal di sekitar masjid, terutama di luar Dewan A’asim, yang menjadi lokasi pelaksanaan hukuman sebat petang ini.

Turut kelihatan lebih 20 meja pendaftaran disediakan di luar Dewan A’asim, manakala kawasan itu dipasang tali penghadang.

Kesalahan khalwat berulang, tukang rumah jalani 6 sebatan di khalayak ramai hari ini

Difahamkan, beberapa pegawai termasuk dari Mahkamah Tinggi Syariah negeri, polis, dan pihak penjara berada di dalam dewan itu untuk persiapan terakhir.

Tukang rumah, Mohd Affendi Awang, 42, yang menjadi individu pertama di negeri ini dijadualkan menjalani hukuman enam sebatan di khalayak ramai kerana kesalahan khalwat berulang, akan dibawa dari Penjara Terbuka Marang ke masjid itu sebelum solat Jumaat.

Setibanya di lokasi, dia akan ditempatkan di ruang khas untuk menunaikan solat Jumaat di bawah pengawasan pegawai penjara dan polis sebelum hukuman dijangka dilaksanakan sekitar jam 3 petang ini.

Media sebelum ini melaporkan Mohd Affendi menjadi individu pertama di Terengganu yang akan menjalani hukuman enam sebatan di khalayak ramai kerana kesalahan khalwat berulang.

Hukuman itu diputuskan oleh Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail, selepas Mohd Affendi mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 31(a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022.

Selain enam sebatan, tertuduh juga dikenakan denda RM4,000 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda itu.

BACA: Kita baru nak masuk 2025, Nepal dah masuk 2081, rupanya ini kalendar yang digunakan