Tabika Kemas buat hal! Cadang buka khas untuk kanak-kanak autisme

Oleh DAHLIA MARZUKI

Malaysia akan memperkenalkan Taman Bimbingan Kanak-kanak (TABIKA) KEMAS khas untuk kanak-kanak autisme pada tahun hadapan.

Usaha ini menjadikan Melaka sebagai negeri perintis dalam menyediakan pendidikan awal yang dikhususkan untuk golongan tersebut.

Perkembangan ini disahkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh, menerusi satu hantaran di laman Facebook rasminya.

“Cadangan perlaksanaan TABIKA KEMAS autisme pertama di Malaysia diterima dengan baik dan akan dimulakan di Melaka, InsyaAllah, pada tahun hadapan,” tulisnya.

TABIKA ini akan dibuka di setiap daerah di Melaka dengan keutamaan diberikan kepada anak-anak autisme daripada golongan B40.

Tabika Kemas buat hal! Cadang buka khas untuk kanak-kanak autisme

“Antara keluhan utama ibu bapa ialah kos tinggi untuk kelas terapi di pusat swasta. Oleh itu, kita mahu memastikan kekangan kewangan tidak menjadi penghalang kepada anak-anak syurga ini untuk mendapatkan pendidikan yang sewajarnya,” tambah Akmal, yang juga Exco Kemajuan Desa, Pertanian, dan Keterjaminan Makanan Negeri Melaka.

Cadangan tersebut telah dibincangkan oleh Dr. Akmal bersama Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

KEMAS, sebagai jabatan di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, akan memainkan peranan penting dalam melaksanakan projek ini.

Dalam respon kepada cadangan pembaca supaya usaha ini diperluaskan ke negeri-negeri lain, Dr. Akmal menyatakan bahawa jika modul di Melaka berjaya, beliau akan mengusulkan supaya program ini diperkenalkan ke seluruh negara.

Usaha ini diharap dapat meringankan beban ibu bapa dan memberikan peluang pendidikan terbaik kepada kanak-kanak autisme, khususnya dari keluarga berpendapatan rendah.

BACA: Suami kata tanggungjawab dia kena jaga kakak dan anak buah dia. Hak saya sebagai isteri mana? Kakak dia bukan janda pun