Menurut laporan Berita Harian, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr. Hazami Jahari, mempersoalkan
sikap rakyat Malaysia yang seolah-olah malu untuk memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Malaysia Tidak Memartabatkan Bahasa Melayu?
Dr. Hazami menyatakan bahawa keadaan ini mengejutkan dan menunjukkan penjajahan minda serta krisis keyakinan terhadap Bahasa Melayu.
Beliau menambah bahawa ada persepsi Bahasa Melayu kononnya tidak memiliki nilai ekonomi, standard, atau mutu tersendiri.
“Sikap seperti ini jelas berbeza jika dibandingkan dengan negara maju seperti Perancis, China, Jepun, dan Thailand, malah negara jiran seperti Indonesia, yang dengan bangganya memartabatkan bahasa kebangsaan mereka,” katanya.
Beliau juga menyifatkan Malaysia sebagai “negara paling pelik di dunia” kerana memiliki bahasa sendiri, tetapi segan untuk menggunakannya.
Bahasa Melayu Perlu Dikembangkan
Dr. Hazami menekankan bahawa kemajuan sesebuah bangsa bukan hanya bergantung pada sains dan teknologi, tetapi juga pada pemikiran dan budaya.
“Oleh itu, kita perlu mengangkat, memartabatkan, dan memperkasakan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa tidak salah untuk mengembangkan Bahasa Melayu, kerana jika tiada usaha untuk memperkembangkannya, bahasa itu mungkin akan hilang relevansinya atau ‘mati’ begitu sahaja.
Menurut Dr. Hazami, bahasa merupakan asas identiti dan jati diri sesebuah bangsa, dan usaha pemerkasaannya perlu diberi perhatian serius.