70 jam rundingan, Volkswagen batal pemotongan gaji 10% raih pujian

Oleh AHMAD SULAIMAN

Volkswagen (VW), pengeluar kenderaan terbesar di Eropah, telah mengumumkan langkah penstrukturan semula operasinya di Jerman,

Termasuk pemberhentian lebih daripada 35,000 pekerja pada masa hadapan serta pengurangan kapasiti produksi.

Menurut laporan Reuters, langkah ini diambil selepas mencapai persetujuan dengan kesatuan pekerja untuk mengelakkan mogok besar-besaran yang boleh memberi kerugian besar kepada syarikat.

Pemimpin kesatuan pekerja menggambarkan perjanjian ini sebagai “keajaiban” selepas menjalani rundingan selama 70 jam, yang merupakan sesi terpanjang dalam sejarah 87 tahun VW.

Dalam perjanjian ini, tiada penutupan tapak atau pemberhentian kerja secara langsung yang akan berlaku, dan VW menarik semula cadangan pemotongan gaji sebanyak 10%.

70 jam rundingan, Volkswagen batal pemotongan gaji 10% raih pujian

Berita ini memberikan kelegaan kepada pelabur. Saham Volkswagen naik sebanyak 2.4% dalam dagangan selepas waktu kerja, walaupun secara keseluruhan telah merosot sebanyak 23% sepanjang tahun ini.

VW berada dalam perbincangan dengan wakil kesatuan sejak September lalu mengenai langkah-langkah penjimatan yang diperlukan untuk bersaing dengan pengeluar kenderaan dari China yang lebih murah serta menghadapi permintaan yang lemah di pasaran Eropah.

Selain itu, syarikat ini juga berhadapan dengan kadar penerimaan kenderaan elektrik (EV) yang lebih perlahan daripada jangkaan.

Dalam tempoh sebulan terakhir, sekitar 100,000 pekerja telah melancarkan dua mogok besar yang membantah rancangan pengurangan kos oleh syarikat itu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Volkswagen Group, Oliver Blume, pakej langkah-langkah yang dipersetujui ini membolehkan syarikat menjimatkan 15 bilion euro (kira-kira RM77 bilion) setiap tahun dalam jangka masa pendek.

Blume turut menyatakan bahawa VW kini berada dalam kedudukan untuk “mengawal takdirnya sendiri.”

BACA: Klia 3 bakal dibina khusus untuk jemaah haji dan umrah