Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dijangka menerima terminal baharu dan peningkatan kapasiti untuk menampung pertambahan penumpang yang semakin meningkat.
Menteri Pengangkutan, YB Anthony Loke Siew Fook, memaklumkan bahawa pihaknya sedang mempertimbang beberapa projek pembesaran KLIA oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
Menurut laporan The Star, cadangan pembesaran jangka panjang ini merangkumi projek peningkatan secara berperingkat untuk KLIA Terminal 1 (T1) dan KLIA Terminal 2 (T2).
Projek ini dianggarkan akan meningkatkan kapasiti T1 hampir dua kali ganda daripada 30 juta penumpang setahun (mppa) kepada 59 mppa, manakala kapasiti T2 pula meningkat daripada 45 mppa kepada 67 mppa.
MAHB turut mempertimbangkan pembinaan landasan keempat dan Terminal 3 (T3) di KLIA pada masa hadapan.
Pelan pembesaran jangka panjang ini dianggarkan dapat meningkatkan kapasiti KLIA kepada 140 juta penumpang setahun (mppa) dan menambah jumlah pergerakan pesawat setiap jam daripada 108 kepada 154.
Terminal khusus untuk jemaah haji dan umrah
Kementerian turut memaklumkan bahawa MAHB merancang untuk membina dua terminal baharu, iaitu terminal premium dan persendirian (PPT) serta terminal khusus untuk jemaah haji dan umrah.
Terminal premium dijangka mampu menampung sehingga 100 penumpang dalam satu masa dan dirancang beroperasi pada tahun hadapan. Terminal haji dan umrah pula dirancang untuk mempunyai kapasiti lima juta penumpang setahun.
Setelah terminal beroperasi, semakan pra-pelepasan imigresen oleh kerajaan Arab Saudi akan dijalankan di KLIA. Ini dijangka dapat mengurangkan masa penumpang di lapangan terbang destinasi, termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz di Arab Saudi.
Namun, cadangan ini hanya dapat dilaksanakan tertakluk kepada kelulusan kerajaan Arab Saudi untuk menyediakan kemudahan pra-pelepasan.
Bagi langkah jangka pendek, MAHB telah memulakan pengoptimuman T1, termasuk pemindahan syarikat penerbangan ke T2, pemasangan kiosk kemudahan kendiri, penambahan 20 gerbang automatik, serta penambahbaikan pengurusan trafik dan pekerja asing yang dijangka siap pada akhir tahun ini.
Anthony Loke berkata demikian semasa sesi Dewan Rakyat menjawab pertanyaan oleh YB Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) mengenai pelan jangka pendek dan panjang kerajaan untuk memperbaiki atau membesarkan KLIA bagi mengukuhkan kedudukannya sebagai hab penerbangan serantau dan antarabangsa.