Pekerja, peniaga, dan usahawan Islam yang menjalankan perniagaan di Pulau Pinang diwajibkan untuk membayar zakat,
Termasuk zakat perniagaan kepada Zakat Pulau Pinang (ZPP) berdasarkan kaedah pengiraan yang telah ditetapkan oleh badan zakat tersebut.
Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman, berkata perkara ini telah diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang yang bersidang pada 10 hingga 12 September yang lalu.
“Menerusi jawatankuasa tersebut, hukum pembayaran zakat kepada amil yang dilantik oleh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) adalah wajib.
Walau bagaimanapun, bayaran zakat secara langsung kepada asnaf yang layak adalah sah.
Namun, perbuatan mengabaikan amil yang dilantik oleh MAINPP adalah berdosa serta melanggar hukum syarak.
“Selain itu, haram untuk memindahkan zakat ke luar negeri Pulau Pinang berdasarkan maslahah semasa kerana ia akan menafikan hak asnaf dan menjejaskan keperluan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan pentingnya membayar zakat di tempat rezeki diperoleh kerana Islam menganjurkan agar zakat diagihkan kepada golongan asnaf di lokasi tempat rezeki tersebut diperoleh, bagi memastikan manfaat langsung kepada asnaf tempatan.
Mohd Sukki turut menyatakan bahawa keputusan ini selaras dengan usaha menjaga kebajikan masyarakat asnaf di Pulau Pinang, khususnya dalam konteks negeri tersebut yang menjadi hab pelaburan tinggi dan berpotensi untuk mengutip zakat yang signifikan.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak, khususnya pekerja dan majikan di sektor industri, untuk memastikan zakat harta, pendapatan, dan perniagaan dibayar melalui saluran yang sah di bawah pentadbiran MAINPP.
MAINPP juga akan mempertingkatkan kerjasama dengan agensi-agensi berkaitan serta sektor industri untuk memberi kefahaman dan galakan kepada pekerja serta majikan tentang kepentingan pembayaran zakat di tempat rezeki diperoleh.
BACA: Taukey stesen minyak mengeluh jualan merudum, sekali lain pula komen netizen