Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) hari ini memberi peringatan kepada kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim
Bahawa kuasa yang mereka miliki adalah amanah daripada rakyat. Jika kerajaan gagal menjaga amanah tersebut, rakyat berhak menarik semula kuasa tersebut.
Peringatan ini dikeluarkan susulan tindakan pihak berkuasa yang didakwa menyekat kebebasan bersuara beberapa aktivis masyarakat baru-baru ini.
Dalam kenyataan media hari ini, Bersih menyatakan solidariti bersama Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan pelukis grafik Fahmi Reza, yang berdepan tindakan intimidasi oleh pihak berkuasa.
“Ruang Sivil Kian Ditekan”
Menurut Bersih, tindakan intimidasi terhadap aktivis dan siasatan ke atas mereka mencerminkan bahawa ruang kebebasan rakyat semakin terhimpit.
“Adakah ini semangat reformasi yang dilaungkan oleh Kerajaan Madani? Adakah rakyat kini tidak lagi boleh berkarya dan mengkritik kerajaan?
“Kerajaan Madani jangan lupa bahawa rakyatlah yang membawa mereka ke puncak kuasa, dan rakyat juga boleh merenggut semula kuasa itu,” tegas jawatankuasa pemandu Bersih.
Polis Intimidasi Pameran dan Karya Satira
Kenyataan Bersih merujuk kepada tindakan polis Pulau Pinang pada 18 Disember lalu terhadap pameran anjuran Suram di Georgetown. Lebih 10 anggota polis dilaporkan hadir, mengambil gambar pameran, menyoal kakitangan Suaram, dan meminta butiran pengenalan diri petugas.
Dalam kes berasingan, Fahmi Reza pula dipanggil untuk siasatan di bawah Akta Hasutan, Akta Komunikasi dan Multimedia, serta Kanun Keseksaan. Lukisan grafik satira Fahmi yang memaparkan Musa Aman sebagai “koruptor nombor satu” Sabah menjadi punca tindakan tersebut.
BACA: Amar Baharin dedah perkembangan terkini isu tanah keluarga yang bertindih