Cukai adalah tanggungjawab kewangan yang penting, sama ada bagi individu mahupun perniagaan, termasuk entiti tempatan dan asing.
Di Malaysia, Nombor Pengenalan Cukai (Tax Identification Number, TIN) diperkenalkan bagi memastikan
Pematuhan terhadap undang-undang cukai, memudahkan penyediaan e-invois, serta memastikan kelancaran operasi perniagaan.
Apa Itu Nombor Pengenalan Cukai (TIN)?
TIN adalah nombor identifikasi unik yang diberikan kepada individu atau entiti yang wajib membayar cukai pendapatan.
Ia digunakan untuk merekod maklumat pembayar cukai di bawah Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL).
Nombor ini terdiri daripada 12 digit, yang mengandungi Kod TIN dan set nombor tertentu.
Siapa Yang Memerlukan TIN?
Kategori individu dan entiti yang wajib memiliki TIN termasuk:
Individu
– Mereka yang bekerja dan membuat Potongan Cukai Bulanan (PCB).
– Pembayar cukai yang ditaksir dan dikenakan cukai.
– Individu yang diwajibkan menyerahkan penyata cukai.
Entiti
– Syarikat, perniagaan, amanah, atau mana-mana entiti lain yang menjalankan perniagaan di Malaysia.
– Termasuk syarikat, badan, perkongsian liabiliti terhad, dan lain-lain.
Cara Memohon Nombor Pengenalan Cukai (TIN)
Permohonan TIN boleh dilakukan melalui kaedah berikut:
Pendaftaran Automatik
– Individu melalui Potongan Cukai Bulanan (PCB).
– Syarikat baharu (tempatan atau asing) melalui pendaftaran dalam talian dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menerusi Portal MyCoID.
Pendaftaran Dalam Talian
– Melalui platform e-Daftar di Portal MyTax.
Pendaftaran Manual
– Dengan mengemukakan borang pendaftaran di cawangan HASiL berhampiran.
Cara Menyemak Nombor TIN
Berikut adalah kaedah untuk menyemak TIN anda:
Semak muka depan penyata cukai pendapatan individu.
Log masuk ke Portal MyTax dan pilih menu e-Daftar. Masukkan maklumat seperti nombor pendaftaran syarikat atau perbadanan.
Gunakan Nombor Kad Pengenalan (NRIC) yang juga berfungsi sebagai pengesahan setara.
Hubungi HASiL Live Chat atau Care Line di talian +603-8911 1000 / +603-8911 1100 untuk panggilan antarabangsa.
Isi Borang Maklum Balas Pelanggan di Portal Rasmi HASiL.
Kunjungi Pejabat HASiL terdekat untuk semakan fizikal.
Mengapa TIN Penting?
Kerajaan Malaysia memperkenalkan perubahan seperti TIN dan e-Invois untuk:
Mengurangkan ketirisan hasil cukai.
Meningkatkan pematuhan cukai.
Menyokong pendigitalan dalam pengurusan cukai.
Memiliki TIN adalah langkah penting untuk memastikan anda tidak menghadapi sebarang risiko atau penalti yang tidak diingini. Selain itu, ia memudahkan segala urusan berkaitan cukai, memastikan rekod kewangan anda teratur, dan mematuhi undang-undang sedia ada.
Dapatkan TIN anda dengan segera bagi memastikan urusan kewangan berjalan lancar dan mengelakkan komplikasi di masa hadapan.
BACA: Berpantang maut sebelum ajal, wanita masih hidup dengan bantuan buah pinggang babi