Pelakon Eyra Hazali meminta netizen agar menjaga percakapan dan tidak mendoakan keburukan terhadap suaminya, Haziq Nadzli, yang merupakan penjaga gol pasukan Harimau Malaya.
Menurut Eyra atau nama sebenarnya Hazira Qasdina Hazali, 25, dia boleh menerima segala kecaman yang dilemparkan,
Namun menyifatkan tindakan mendoakan suaminya lumpuh sebagai melampau.
“Caci makian anda (netizen) kami boleh terima, tetapi menghina dan mendoakan suami saya lumpuh, serta melibatkan anak-anak kami adalah keterlaluan. Jaga lisan,” katanya.
Eyra meluahkan perasaannya menerusi sebuah hantaran Instastory di Instagram miliknya.
Dalam pada itu, pelakon drama Mr Grey ini tetap menyatakan sokongannya terhadap Haziq dan berharap doa-doa buruk tersebut tidak berbalik kepada mereka yang melemparkannya.
“Saya berdoa semoga doa-doa itu tidak berbalik kepada anda dan keluarga. Haziq, kami akan sentiasa menyokong awak,” ujar Eyra.
Sebelum ini, Haziq menerima kecaman hebat daripada netizen selepas melakukan kesilapan ketika perlawanan Piala Asean 2024 pada malam Sabtu, yang berlangsung di Stadium Rajamangla, Bangkok. Perlawanan tersebut menyaksikan Thailand meraih kemenangan tipis 1-0.
Gol tunggal perlawanan terhasil selepas hantaran Haziq tersasar dan jatuh ke kaki pemain Thailand, Suphanat Mueanta, yang kemudian mengumpan Patrik Gustavsson untuk menjaringkan gol penentu.
Berikutan insiden tersebut, Instagram milik Eyra turut menjadi sasaran netizen yang meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kesilapan yang dilakukan oleh suaminya.