Hibah ialah pemberian sukarela daripada pemberi kepada penerima atas dasar kasih sayang, tanpa mengharapkan sebarang bentuk balasan.
Walaupun hibah semakin banyak dipromosikan pada masa kini, masih ramai yang kurang memahami konsep sebenar hibah.
Antara kekeliruan paling ketara ialah apabila ada yang beranggapan hibah perlu difaraidkan selepas pemberinya meninggal dunia.
Situasi seperti ini dialami oleh seorang ejen takaful, Fahmie Othman, yang diminta membantu menyelesaikan isu yang dibangkitkan seorang wanita selepas kematian adik lelakinya.
Menurut Fahmie, si wanita tersebut meminta adik iparnya (isteri si arwah) memberikan sebahagian daripada wang hibah yang ditinggalkan suaminya. Namun, permintaan itu timbul akibat salah faham mengenai konsep hibah.
“Bila kurang ilmu agama, soal harta semua nak jadi ustaz dan ustazah jadian. Sampai hibah pun nak kena faraid. Ipar duai tamak memang wujud, jadi bertindaklah awal sebelum situasi ini berlaku,” jelas Fahmie dalam satu perkongsian di media sosial.
Punca Konflik Keluarga
Fahmie turut berkongsi tangkap layar mesej perbualan dengan wanita terbabit. Dalam mesej itu, wanita tersebut menyatakan rasa tidak puas hati kerana keluarga mereka langsung tidak menerima apa-apa daripada wang hibah yang diterima adik iparnya, meskipun jumlahnya lebih RM300,000.
“Pampasan hibah RM300,000 banyak tu. Kalau bahagi ikut faraid, hak isteri tak besar mana. Kesian kat keluarga kami, sikit pun tak diberi,” ujar wanita itu.
Bagaimanapun, Fahmie bertanya sama ada wang itu benar-benar hibah atau sebaliknya. Wanita tersebut yakin ia hibah dan berpendapat wang itu masih boleh difaraidkan.
Penjelasan Mengenai Hibah
Fahmie menjelaskan bahawa hibah bukanlah harta pusaka dan tidak tertakluk kepada hukum faraid. Malah, hibah dilindungi di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013. Sekalipun isu itu dibawa ke mahkamah, keputusan tetap berpihak kepada penerima hibah.
Penjelasan Fahmie bagaimanapun sukar diterima wanita tersebut, yang berterusan mempersoalkan hak keluarganya.
“Takkan tak boleh faraid? Semua harta si mati harta pusaka. Tak logik sangat kalau hibah tak boleh difaraidkan,” tegas wanita itu.
Wanita itu juga meluahkan kebimbangan adik iparnya menjadi “buta mata” selepas menerima wang hibah yang banyak dan menyindir kemungkinan adik iparnya mencari pasangan baharu.
Nasihat dan Penyelesaian
Dalam situasi ini, Fahmie menasihatkan wanita terbabit agar memahami konsep sebenar hibah.
Hibah ialah pemberian mutlak yang tidak boleh dituntut oleh pihak lain selepas pemberi meninggal dunia. Ia bertujuan memastikan penerima hibah mendapat manfaat sepenuhnya seperti yang dihasratkan oleh pemberi.
Fahmie turut menegaskan pentingnya memahami ilmu kewangan Islam agar tidak timbul salah faham atau pertikaian di kemudian hari.
“Bertindaklah daripada awal. Pastikan anda faham konsep hibah dan lindungi keluarga anda daripada konflik harta pusaka,” pesan Fahmie di penghujung perkongsian.
BACA: Dari 3 lorong jadi 1 lorong, tindakan orang ramai rai ‘jalan kaki ke Mekah’ undang kritikan netizen