Isteri tak boleh tuduh suami melakukan berzina walau ada bukti gambar?

Oleh JUNITA ABD RAHIM

Hati seorang isteri mana yang tidak remuk apabila suami yang dicintai sanggup mengkhianati ikatan perkahwinan

Dengan menjalin hubungan terlarang bersama pembantu peribadinya.

Inilah derita yang dialami seorang wanita hingga dia tekad memfailkan penceraian di mahkamah dengan menggunakan bukti yang dimilikinya.

Difahamkan, wanita itu mempunyai gambar suaminya bersama pembantu peribadi dalam keadaan tidak berbaju sebagai bukti dakwaan zina.

Namun, dia terkejut apabila dimaklumkan oleh peguam bahawa gambar tersebut tidak mencukupi untuk membuktikan kesalahan zina di mahkamah.

Isteri tak boleh tuduh suami melakukan berzina walau ada bukti gambar?

Sebaliknya, undang-undang syariah menetapkan bahawa empat saksi lelaki yang menyaksikan perbuatan tersebut secara langsung diperlukan untuk mengesahkan dakwaan zina.

Kisah ini dikongsi oleh peguam yang dikenali sebagai Hanan Jasmin melalui satu hantaran di TikTok, tanpa mendedahkan identiti anak guamnya.

“Gambar tersebut bukan bukti sah untuk menuduh suami puan berzina. Untuk tuduhan zina, puan perlu membawa empat saksi lelaki yang melihat perbuatan itu. Tanpa saksi, puan boleh dikenakan hukuman Qazaf,” jelasnya.

Bagaimanapun, menurut peguam itu, wanita tersebut masih boleh menuntut penceraian secara fasakh di mahkamah dengan alasan suami berkelakuan keji mengikut hukum syarak. Gambar yang ada boleh digunakan sebagai bukti dalam permohonan fasakh.

“Saya nasihatkan puan untuk membuat permohonan fasakh atas alasan suami berkawan dengan wanita tidak baik atau berkelakuan keji. Bawalah gambar tersebut ke mahkamah sebagai sokongan,” tambahnya.

Fasakh adalah pembubaran perkahwinan melalui perintah mahkamah berdasarkan sebab-sebab tertentu. Jika bercerai melalui fasakh, pasangan tidak boleh rujuk kembali kecuali melalui akad nikah yang baru.

Sebagai tambahan, hukum qazaf melarang seorang Muslim menuduh saudara seagama dengan zina, liwat, atau menafikan nasab tanpa bukti yang sah, dan tuduhan palsu boleh membawa hukuman berat.

BACA: