Dulu aktif berlumba kini berkaki ayam ke India, ini kisah Axel Pons

Oleh MOHD FAHMI MUSTAQIM

Nama Axel Pons mungkin tidak asing bagi peminat sukan permotoran, khususnya dalam perlumbaan Moto2.

Sebagai anak kepada legenda MotoGP, Sito Pons, Axel pernah menempa nama dalam dunia perlumbaan

Termasuk menduduki tempat ke-16 dalam Kejuaraan Dunia Moto2 pada tahun 2016.

Namun, pada tahun 2017, Axel membuat keputusan mengejutkan untuk meninggalkan dunia perlumbaan dan memulakan perjalanan baharu dalam bidang fesyen.

Selepas berkecimpung sebagai model, Axel hilang dari perhatian umum sehinggalah beliau muncul semula pada tahun 2019 dalam temu bual bersama akhbar Sepanyol, El Pais.

Dulu aktif berlumba kini berkaki ayam ke India, ini kisah Axel Pons

Dalam temu bual tersebut, Axel berkongsi hasratnya untuk meninggalkan kehidupan yang penuh tekanan dan menjalani kehidupan yang lebih perlahan. Tiada siapa menyangka keputusan ini akan membawa Axel ke perubahan hidup yang begitu drastik.

Perjalanan Rohani yang Bermula di Sepanyol

Baru-baru ini, Axel mencuri perhatian apabila dia dilihat berjalan berkaki ayam, jauh dari tanah airnya.

“Pada satu ketika, saya mula bertanya kepada diri sendiri, apa erti hidup dalam kelajuan yang begitu tinggi? Saya mula berjalan lebih perlahan, tanpa beban, hanya dengan beg galas,” katanya.

Perjalanan ini bermula di negara asalnya, Sepanyol, di mana Axel memulakan langkahnya ke arah timur sambil menikmati keindahan dunia.

Apa yang menarik, Axel memilih untuk berjalan tanpa kasut, hanya menggunakan crocs apabila benar-benar diperlukan.

Menurut Axel, keputusan untuk berjalan tanpa kasut ini telah bertahan selama enam tahun. Dalam sebuah video yang tular di saluran YouTube Wahaj Ali.B, Axel dilihat sedang berjalan di Pakistan dengan rambut dreadlock tebal, penampilan sederhana, dan tanpa alas kaki.

“Saya sudah berjalan tanpa kasut selama enam tahun. Tapak kaki saya kini keras dan hitam,” ujar Axel sambil menunjukkan tapak kakinya.

Bagi Axel, perjalanan sejauh 6,500 kilometer dari Sepanyol ke Pakistan ini bukan sekadar aktiviti fizikal, tetapi juga satu perjalanan rohani. “Pada satu ketika, tiada yang lebih bermakna daripada berjalan dan melepaskan segala beban hidup, serta mencari penyatuan penuh dengan Allah atau Tuhan,” jelasnya.

Axel menceritakan bahawa sekitar 15 bulan lalu, beliau merasakan dirinya bersedia untuk melangkah ke timur, menuju matahari terbit. “Tahun lalu sangat indah. Saya belajar menikmati setiap detik kehidupan,” katanya.

Walaupun perjalanan panjang ini membawa banyak pengalaman berharga, Axel kini berdepan cabaran baharu. Beliau bercadang untuk meneruskan perjalanan ke India, namun masalah visa menghalangnya.

Axel kini mempertimbangkan untuk memasuki China sebagai alternatif sebelum cuba menyeberang ke India.

Perjalanan Axel Pons adalah kisah inspirasi tentang keberanian untuk meninggalkan kehidupan lama, mencari makna sebenar hidup, dan menikmati perjalanan dengan cara yang sangat luar biasa.

BACA: Boleh ke ambil wuduk guna air banjir dan solat ,ini penjelasan ust