Musim tengkujuh kini melanda beberapa negeri di Pantai Timur dan utara Semenanjung Malaysia
Ia menyebabkan bencana banjir yang menjejaskan kehidupan ramai.
Dalam keadaan sukar ini, umat Islam diingatkan untuk tetap meletakkan kebergantungan kepada Allah SWT sambil mematuhi arahan pihak berkuasa.
Solat Tetap Wajib, Walau Ketika Banjir
Bencana tidak seharusnya dijadikan alasan untuk meringankan kewajipan solat.
Banyak persoalan sering timbul mengenai cara menunaikan solat dalam keadaan musibah seperti ini.
Tokoh pendakwah bebas, Ustaz Wadi Annuar, telah menjelaskan lima isu utama berkaitan hukum solat semasa banjir:
1) Sahkah Berwuduk dengan Air Banjir?
Ya, berwuduk dengan air banjir adalah sah kerana air tersebut biasanya berasal dari sungai dan hujan, yang termasuk dalam kategori air mutlak.
2) Bolehkah Solat dengan Pakaian Terkena Air Banjir atau Lumpur?
Solat sah selagi pakaian itu tidak menunjukkan tanda jelas terkena najis. Lumpur atau kotoran air banjir tanpa bukti najis tidak menjejaskan kesucian pakaian.
3) Bolehkah Solat Jamak Ketika Banjir?
Mengikut mazhab Imam Al-Syafie, solat jamak tidak dibolehkan dalam situasi banjir kecuali jika terdapat kesukaran mendesak seperti menyelamatkan nyawa. Dalam situasi ini, pendapat ulama seperti Imam al-Nawawi membolehkan solat jamak.
4) Wajibkah Solat Jumaat Semasa Banjir?
Wajib: Jika di pusat penempatan sementara terdapat sekurang-kurangnya 40 orang yang diwajibkan solat Jumaat.
Tidak Wajib: Jika terkandas di rumah akibat banjir, keuzuran ini menggugurkan kewajipan solat Jumaat.
5) Sahkah Solat di Dalam Air?
Solat di dalam air adalah sah. Jika paras air tidak terlalu tinggi, rukuk dan sujud hendaklah dilakukan seperti biasa. Namun, jika keadaan tidak memungkinkan, solat dengan isyarat seperti menundukkan kepala boleh dilakukan sebagai ganti.
Ingatlah, banjir adalah ujian daripada Allah SWT untuk menguji kesabaran dan keimanan hamba-Nya. Tetaplah menjaga ibadah dan memperbaiki hubungan dengan-Nya meskipun dalam keadaan sukar.
BACA:Mekanik bongkar tabiat buruk pemandu, punca kereta cepat rosak