Batuk, bersin atau menguap boleh jadi punca batal solat… Ustaz perjelaskan

Oleh MUHAMMAD KHAIRY JALALUDDIN

Solat merupakan tiang agama dan kewajipan utama bagi setiap Muslim.

Dalam melaksanakan solat fardu lima waktu, perhatian terhadap perkara yang boleh membatalkan solat,

termasuk kesempurnaan rukun solat, adalah sangat penting.

Rukun solat terbahagi kepada beberapa kategori, salah satunya ialah rukun qauli,

iaitu bacaan dalam solat seperti surah Al-Fatihah dan takbiratul ihram (Allahuakbar).

Batuk, bersin atau menguap boleh jadi punca batal solat... Ustaz perjelaskan

Baru-baru ini, satu hantaran di laman TikTok oleh pihak pengurusan Masjid Bandar Seri Putra, Bangi, mengingatkan tentang kecuaian yang sering tidak disedari ketika melafazkan rukun qauli.

“Bacaan rukun qauli mesti sempurna dan tidak terputus. Jika seseorang terbatuk, terbersin, atau menguap di tengah bacaan, bacaan tersebut perlu diulang semula. Jika dibiarkan terputus, solat boleh menjadi batal,” jelas Imam 1 Masjid Bandar Seri Putra, Ustaz Najmi Yahya.

Beliau turut menekankan, “Sebagai contoh, jika kita terbatuk semasa membaca ayat ihdinas-sirâtal-mustaqîm dalam surah Al-Fatihah, kita mesti ulang bacaan ayat itu semula kerana terputusnya bacaan boleh merosakkan makna ayat. Namun, jika terbatuk selepas tamat satu ayat, seperti selepas membaca ghairil-maghḍubi ‘alaihim walā-ḍḍāllīn, bacaan boleh diteruskan tanpa perlu mengulang.”

Selain surah Al-Fatihah, perkara sama juga terpakai untuk rukun qauli lain seperti tahiyat akhir, salam pertama, takbiratul ihram, dan selawat.

Sekiranya berlaku gangguan seperti batuk atau bersin di tengah-tengah bacaan, ia harus diulang agar rukun tersebut kekal sempurna.

Kesempurnaan bacaan dalam solat adalah asas kepada kesahihan ibadah ini, justeru tidak boleh diambil ringan. “Solat itu tiang agama, maka perbaikilah solat kita agar ia diterima Allah,” tambah Ustaz Najmi.

BACA: Ini sebab kenapa tingkap pesawat berbentuk bujur bukan petak