Peluang menaiki pesawat, sama ada untuk bercuti atau atas urusan kerja, bukanlah sesuatu yang berlaku setiap hari.
Lebih istimewa lagi jika mendapat tempat duduk di tepi tingkap, yang memberikan pemandangan indah daratan dan lautan dari langit
Kenangan ini pasti kekal terpahat hingga ke hari tua.
Namun, pernahkah anda tertanya-tanya mengapa tingkap pesawat berbentuk bujur, bukannya segi empat seperti tingkap kebanyakan kenderaan lain?
Pada asalnya, tingkap pesawat memang direka dalam bentuk segi empat.
Namun, tragedi melibatkan pesawat terhempas tanpa sebab yang jelas memaksa syarikat penerbangan menyiasat puncanya.
Antara insiden yang menjadi titik tolak perubahan ini ialah tiga kejadian melibatkan pesawat de Havilland DH-106 Comet 1. Dalam setiap kejadian, pesawat mengalami kerosakan semasa di udara (in-flight break-up) dan terhempas, mengorbankan semua penumpang dan anak kapal, menurut laporan Federal Aviation Administration (FAA).
Hasil siasatan mendapati punca kemalangan ialah tekanan udara berulang terhadap tingkap segi empat yang mencetuskan masalah metal fatigue failure. Bentuk tingkap segi empat dengan sudut tajam mencipta titik lemah yang mempercepatkan keretakan pada logam.
Menurut Maintenance World, metal fatigue failure merujuk kepada kerosakan bahan logam secara tidak dijangka akibat tekanan berulang, yang menyebabkan keretakan semakin membesar sepanjang penggunaannya.
Sebagai penyelesaian, tingkap pesawat kini direka berbentuk bujur. Bentuk ini membolehkan tekanan udara diagihkan secara sama rata ke seluruh permukaan tingkap, sekali gus menghapuskan titik lemah yang boleh menyebabkan kegagalan struktur logam.
Reka bentuk tingkap bujur ini telah menjadi standard bagi semua pesawat komersial, hasil daripada kajian mendalam terhadap keselamatan penerbangan. Jadi, setiap kali anda memandang keluar tingkap pesawat, ingatlah betapa pentingnya inovasi ini dalam memastikan perjalanan anda selamat.
bACA: