Warga bangladesh bebas hidup tanpa dokumen di Terengganu selama 18 tahun

Oleh JUNITA ABD RAHIM

Seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Bangladesh yang telah tinggal di negara ini selama 18 tahun tanpa dokumen sah

akhirnya diberkas selepas bertindak berpindah-pindah tempat bagi mengelakkan dikesan pihak Imigresen.

Pengarah Imigresen negeri, Mohd Yusri Mohd Nor, berkata lelaki berusia 37 tahun itu ditahan oleh pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM)

Dalam satu serbuan di sebuah rumah flat di Kampung Nisan Empat pada 25 Oktober lalu.

Menurutnya, lelaki itu dipercayai memasuki negara ini tanpa sebarang dokumen sah ketika berusia 19 tahun.

Warga bangladesh bebas hidup tanpa dokumen di Terengganu selama 18 tahun

“Lelaki tersebut adalah antara 24 PATI yang terdiri daripada warga Indonesia (11), Bangladesh (6), Myanmar (3), dan Pakistan (4), yang dijatuhi hukuman mengikut Akta Imigresen 1959/63,” katanya ketika dihubungi.

Lelaki warga Bangladesh itu dijatuhkan hukuman satu sebatan dan penjara lapan bulan. Dia dikatakan sering berpindah tempat untuk mengelakkan pemeriksaan pihak Imigresen.

13 PATI Ditangkap Dalam Operasi Imigresen
Dalam perkembangan lain, Mohd Yusri memaklumkan bahawa seramai 13 PATI telah ditahan dalam operasi Ops Sapu, Belanja, dan Selera di sekitar daerah ini dan Kuala Nerus pada Selasa lalu.

Operasi selama tujuh jam bermula dari jam 12 tengah hari itu melibatkan serbuan ke atas lapan premis yang sering menjadi tumpuan warga asing.

Sebanyak 62 warga asing diperiksa, dan 13 daripada mereka, termasuk tujuh lelaki warga Bangladesh dan enam lelaki Myanmar berusia antara 19 hingga 45 tahun, telah ditahan.

Mereka didapati melakukan kesalahan di bawah Peraturan 39 (b), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, iaitu menyalahgunakan pas, serta Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.

BACA: Muhyiddin bukan calon PM, PAS lebih sesuai memimpin PN, kata Ulama Pas