Ketua Aktivis Surplus Pulau Pinang, Sophian Mohd Zain, tampil memberikan teguran
kepada restoran Pak Mat Western dengan harapan agar kualiti makanan yang ditawarkan dapat diperbaiki.
Menerusi satu hantaran di TikTok, Sophian berkongsi pengalamannya ketika berada di restoran Pak Mat Western di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Beliau menjelaskan bahawa semua makanan dibeli sendiri tanpa sebarang penajaan.
“Air Spanish Latte memang sedap, tetapi untuk saiz kecil seperti ini dengan harga RM11.90, saya rasa ia tidak berbaloi,” katanya.
Selain itu, Sophian turut memesan hidangan daging, namun menyatakan rasa kecewa apabila makanan tersebut tiba dalam keadaan sejuk.
“Makanan ini baru saja sampai, tetapi sejuk. Dengan harga sebegini, ia memang kurang menyelerakan,” tambahnya.
Sophian menegaskan bahawa tegurannya adalah berdasarkan pandangan sebagai rakyat biasa yang menyokong perniagaan tempatan. Beliau juga menyatakan bahawa dirinya sudah mula menyokong Pak Mat Western sejak awal perniagaan itu beroperasi.
Respon Pihak Restoran
Hantaran tersebut mendapat perhatian pihak restoran, yang memberikan respon positif terhadap teguran tersebut.
“Terima kasih atas maklum balas daripada pihak tuan. Pihak kami akan ambil maklum untuk penambahbaikan di masa hadapan,” tulis akaun rasmi Pak Mat Western.
Teguran seperti ini diharapkan dapat membantu restoran tempatan meningkatkan kualiti makanan dan perkhidmatan demi kepuasan pelanggan.
BACA: Lelaki dedah cara pekerja ‘offshore’ cuci baju ditengah laut bergelora