Pelakon veteran, Ku Faridah Ku Shafie atau mesra disapa Mak Engku patah tulang leher selepas terjatuh dalam bilik air, awal bulan lalu.
Perkara itu dimaklumkan oleh rakan selebriti, Sharifah Shahora menerusi sebuah hantaran di Instagram.
Menurut Sharifah Shahora, aktres berusia 72 tahun itu masih menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh, Selangor sejak 10 hari lalu.
“Dia patah tulang pada bahagian lehere sebab jatuh semasa berada di dalam tandas. Tapi mujurlah ada orang di rumah waktu itu.
“Cuma buat masa ini, dia tak boleh nak baring, cuma kena bersandar,” maklumnya.
Maklumnya lagi, buat masa sekarang doktor sedang mencuba pelbagai rawatan dan tulang sum-sum Mak Engku akan diambil pada minggu hadapan bagi merawat bahagian leher tersebut.
Sharifah Shahora berkata, dia baru sahaja berkesempatan untuk melawat dan bertanyakan khabar Mak Engku setelah menerima berita berkenaan tiga hari lepas.
Sebelum ini, Sharifah Shahora berkongsi foto melawat Mak Engku bersama pelakon Datin Nina Juren dan penerbit, Hadith Omar.
“Semoga Mak Engku Faridah diberikan kesembuhan (tulang leher patah jatuh dalam bilik air.
“Datin Nina Juren dan Tan Sri Hadith Omar datang terus mak (Ku Faridah) sihat sikit,” tulisnya.
Dalam pada itu, dia turut menitipkan doa agar Mak Engku diberikan kesembuhan seperti sedia kala.