Allahyarham S Atan beri pesanan kepada isterinya selepas pemergiannya buat ramai terkejut

Oleh AHMAD SULAIMAN

Kental jiwa kemelayuan, maestro muzik Allahyarham Datuk S Atan yang mendedikasikan lima dekad

kehidupannya dalam arena muzik cukup bangga dengan identiti warisan bangsa.

Tidak hairanlah dalam setiap lagunya sedari mula menggubah lagu pada 1974,

pasti diselitkan lenggok irama yang menjadi identiti bagPi setiap karya sentuhan magisnya.

Menerusi temu bual bersama media, pemilik nama penuh Hashim Said itu mengakui wajib menyelitkan elemen muzik Melayu yang melambangkan kekayaan seni bangsa.

Allahyarham S Atan beri pesanan kepada isterinya selepas pemergiannya buat ramai terkejut

“Setiap kali bila saya mencipta lagu, elemen muzik Melayu kena ada.

“Orang Melayu dengan melodi Melayu tidak boleh dipisahkan, bahkan kebanyakan lagu saya menjadi malar segar dan masih diminati sehingga sekarang,” katanya.

Teruja

Kelmarin, penggubah lagu yang mendapat julukan Komposer 1,000 Karya itu telah pergi menyahut panggilan Ilahi di kediamannya di Kajang, Selangor akibat komplikasi jantung.

Menurut isterinya, Datin Norizan Yeob, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada usia 75 tahun selepas beberapa hari mengadu tidak sihat.

Sekitar September lalu, lelaki yang juga dikenali dengan sikap tegas namun sarat sifat kebapaan itu dimasukkan ke pusat perubatan kerana jangkitan kuman pada paru-paru.

Pemergian S Atan yang mahir bermain instrumen seperti bonggo dan piano itu bukan hanya dirasai penyanyi yang pernah bekerjasama dengannya, malah seluruh peminat muzik.

Antara nama besar yang pernah merakamkan lagu ciptaan S Atan ialah Allahyarham Tan Sri S M Salim, Datuk DJ Dave, Datuk Sheila Majid, Datuk Jamal Abdillah, Carefree, Black Dog Bone dan Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad serta Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Hakikatnya, S Atan juga terkenal sebagai Bapa Lagu Raya kerana setiap sentuhan terhadap lagu musim perayaan yang dihasilkannya terus malar segar sampai sekarang.

Antara seleksi yang berkumandang radio setiap kali musim Syawal termasuk Dari Jauh Ku Pohon Maaf, Balik Kampung, Menjelang Hari Raya, Cahaya Aidilfitri, Indahnya Beraya Di Desa dan Salam Aidilfitri.

Pemergian beliau meninggalkan bekas mendalam dalam diri ramai anak seni termasuk Datuk M. Nasir yang menyifatkan S Atan sebagai pemuzik yang sangat istimewa.

10 tahun

“Dalam perjalanan dunia seni muzik ini, kita akan dapat jumpa komposer macam Allahyarham 10 tahun sekali. Orang macam arwah, karyanya bagus dan besar.

“Saya masih ingat, tahun 70-an dan 80-an itu adalah kemuncak kerjaya dan karyanya. Kemudian, tahun 80-an muncul pula orang lain,” ujar M. Nasir.

Sementara itu, Jamal Abdillah berkata, Allahyarham merupakan ‘watak utama’ dalam karier nyanyiannya sejak mula berkecimpung dalam arena nyanyian tahun 1974.

“Beliau seorang yang tegas apabila berada dalam studio. Walaupun tidak banyak bercakap, arwah sangat fokus apabila bekerja dan tahu mencantikkan suara penyanyi agar bersesuaian dengan lagu.

“Saya sangat terhutang budi dengan beliau yang banyak membantu saya mencipta nama dalam industri. Lagu Perjalananku yang dihasilkan beliau telah melonjakkan nama saya,” katanya.

Bagai dikatakan, S Atan saat nyawa masih di kandung badan, lagu raya yang cukup sinonim dengan dirinya disifatkan sebagai pencetus semangat keraian sekali gus menggandakan kegembiraan menyahut kemenangan selepas sebulan berpuasa.

Beliau bukan sahaja berbesar hati apabila diminta menciptakan lagu raya, malah keterujaan itu ditonjolkan menerusi melodi karyanya yang mencerminkan kegembiraan.

Penghargaan

Pada masa sama S Atan turut dikenali sebagai insan berkeperibadian tinggi dan suka berkongsi karya dengan semua peminat muzik tanpa mengira usia mahupun bangsa.

Sudah tentu pengiktirafan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat Anugerah Bintang Popular ke-36 (ABP36) pada awal Oktober lalu menunjukkan penghargaan terhadap sumbangannya sentiasa diingati ramai.

“Bagi saya, kalau nak beri anugerah berilah ketika masih hidup.

“Saya pesan pada isteri, kalau ada mana-mana pihak beri anugerah ketika saya sudah tiada, jangan terima.

“Sebaliknya, kenang saya dalam doa dan jangan lupa sedekahkan al-Fatihah buat saya,” katanya.

Bagai mengerti masanya tidak panjang, S Atan meninggal dunia kelmarin selepas lebih sebulan menerima anugerah tersebut.

Kini, tiada lagi sosok genius muzik tinggi lampai berkumis nipis yang sentiasa ramah menyapa, yang tinggal cuma seleksi lagunya.

Biar Allahyarham sudah berhijrah ke negeri abadi, setiap bingkisan ilmunya terus menjadi nadi kepada warisan muzik tempatan sekali gus menjadi kebanggaan negara.

Nama legenda bernama S Atan akan terus dikenang dalam sejarah muzik tempatan dan Singapura bersama katalog dendangan ciptaannya yang tidak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Al-Fatihah buat Allahyarham Hashim Said.

BACA: Pegawai HR dedah jenis resume redflag, tak habis baca terus kena reject