Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, menyatakan kesediaannya untuk dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen
Berhubung persoalan yang dibangkitkannya mengenai pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkaitan isu ‘right to exist’ melibatkan Israel.
“Isu ‘right to exist’ – hadapkan saya ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen jika kenyataan saya tidak tepat.
“Ahli Parlimen lain boleh mengusulkan perkara ini, tidak perlu membuat bising di luar,” tegas Ketua Penerangan Pas itu dalam hantaran di Facebook pada Isnin.
Pada 14 November lalu, dalam sesi di Dewan Rakyat, Fadhli mempersoalkan pendirian Perdana Menteri
mengenai serangan Israel terhadap rakyat Palestin, yang disifatkannya sebagai tidak konsisten.
Menurut Fadhli (PN-Pasir Mas), Malaysia sebelum ini bersikap tegas dan lantang, termasuk mengusulkan supaya Israel dikeluarkan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Namun, beliau menyatakan bahawa pendirian tersebut tidak selari dengan jawapan Perdana Menteri semasa wawancara bersama media antarabangsa CNN.
“Dalam wawancara bersama CNN, apabila ditanya, ‘Does Israel have a right to exist and defend itself?’ Adakah Israel berhak untuk wujud dan mempertahankan diri?
“Perdana Menteri menjawab ‘Yes’ (ya).
“Perkataan ini sahaja sudah cukup mengelirukan. Mungkin jawapan itu diberikan kerana tekanan atau provokasi oleh wartawan pada ketika itu,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 di peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat.
Fadhli menegaskan bahawa Israel tidak mempunyai hak untuk wujud di dunia pada masa kini.
“Kita perlu menyatakan dengan jelas bahawa dalam situasi sekarang, dengan kezaliman dan jenayah yang dilakukan oleh Israel, kita berharap Perdana Menteri dapat mengulangi kenyataan yang lebih tegas, menunjukkan bahawa apa yang diucapkan dalam wawancara itu tidak selari dengan pendirian kita.
“Kita faham bahawa pendirian kita mungkin tidak boleh terlalu keras kerana bergantung pada banyak faktor.
“Namun, jika kita mampu mengusulkan agar Israel dikeluarkan daripada PBB, tidak ada salahnya kita menyatakan bahawa Israel tidak berhak wujud dalam dunia ini, kerana negara tersebut diasaskan melalui genosid, kezaliman, dan darah rakyat Palestin yang tidak berdosa serta tanpa alasan munasabah,” tambahnya.
BACA: Ini satu-satunya kaum di Malaysia yang tak boleh duduk di darat, jenis mabuk darat