Polis mengesahkan bahawa mata kiri mangsa yang telah dikorek oleh seorang lelaki warga asing
Dalam kejadian pergaduhan di Flat Rathina, Tasek Gelugor kelmarin, tidak dapat diselamatkan dan ada kemungkinan mangsa akan mengalami kecacatan kekal.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad, berkata keadaan mangsa kini stabil dan dia sedang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang.
“Mata mangsa tidak dapat diselamatkan. Bebola matanya telah terkeluar dan dia mungkin akan mengalami kecacatan kekal,” ujarnya.
“Ketika kejadian, mangsa dipercayai dalam keadaan mabuk.
Mangsa juga mempunyai beberapa rekod jenayah,” tambah beliau ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut.
Sebelum itu, Hamzah menyaksikan majlis pemakaian pangkat dan serah terima tugas Ketua Polis Daerah Timur Laut serta Pengerusi Perkep IPD Timur Laut.
Dalam majlis tersebut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Mohammad telah menerima tugas daripada Superintendan Lee Swee Sake, yang sebelum ini memangku jawatan Ketua Polis Daerah tersebut.
Dalam perkembangan lain, Hamzah berkata, siasatan polis mendapati mangsa dan suspek adalah jiran di kawasan flat berkenaan dan dipercayai berlaku perselisihan faham antara kedua-duanya yang menyebabkan pergaduhan tersebut.
BACA: Iqbal Zulkefli perjelas isu saman RM5 Juta oleh bekas adik ipar