Founder produk jatuh terduduk, view live 500 terus jatuh merudum tinggal 30 orang selepas hina B40

Oleh BURHANUDDIN ABD RAZAK

Ramai yang sedia maklum bahawa golongan B40, iaitu mereka yang berpendapatan rendah, merupakan kumpulan pengguna terbesar di Malaysia.

Malah, kebanyakan pengasas produk juga menyasarkan golongan ini sebagai pembeli utama.

Namun, baru-baru ini, satu insiden melibatkan seorang pengasas produk yang menghina seorang individu ketika sesi siaran langsung (live) di TikTok

. Insiden tersebut diceritakan semula oleh seorang pengguna TikTok yang kebetulan menyertai sesi tersebut dan menyaksikan penghinaan tersebut berlaku.

Menurut pengguna tersebut, dia masuk ke sesi live itu dan mendapati ada seorang individu yang bertanya,

Founder produk jatuh terduduk, view live 500 terus jatuh merudum tinggal 30 orang selepas hina B40

“Tak ada yang murah sikit ke?” Lantas, pengasas produk tersebut menghalau individu itu dari sesi live dengan berkata, “Saya tak menagih simpati golongan B40 ni. Kalau tak ada duit, keluar dari live ni.”

Perkongsian tersebut menunjukkan bahawa kata-kata sinis pengasas produk itu menyebabkan jumlah penonton yang asalnya lebih daripada 500 orang, menurun dengan mendadak kepada hanya 30 orang.

Sebagai reaksi, pengguna TikTok tersebut memberi pandangan dan nasihat kepada pengasas-pengasas produk di Malaysia, mengingatkan mereka bahawa golongan B40 adalah pembeli utama bagi produk-produk yang mereka jual.

“Barang-barang mereka kebanyakannya dibeli oleh golongan B40. Tak pernah lagi saya tengok pengasas bagi hadiah cabutan bertuah RXZ kepada orang yang tinggal di rumah banglo atau yang ada kereta Lamborghini,” katanya.

Walaupun menceritakan insiden itu, pengguna tersebut memilih untuk tidak mendedahkan identiti pengasas produk yang dikatakan bersikap biadab itu. Walaupun ramai yang mendesak untuk mengetahui siapa pengasas tersebut, dia tetap berpendirian untuk merahsiakan identitinya, dengan alasan untuk mengelakkan aib kepada individu terbabit. Dia menyatakan bahawa hantaran tersebut dibuat sebagai peringatan kepada pengasas-pengasas produk agar tidak merendahkan golongan B40.

“Saya buat status ini bukan untuk suruh orang teka siapa dia, tetapi untuk dia sendiri baca dan memperbaiki dirinya,” jelasnya lagi.

Di ruangan komen, ramai warga maya berkongsi pengalaman mereka menyertai sesi live pengasas produk yang dianggap biadab dan suka mengherdik golongan miskin. Ada yang bercerita tentang pengasas yang mengeluarkan kata-kata seperti, “Orang miskin jangan join live kalau tak mampu beli,” serta membiarkan pelanggan yang bertanya soal harga atau produk dihina.

Seorang lagi pengguna berkongsi pengalaman ketika mengikuti sesi live seorang pengasas yang menjual beg, di mana dia tiba-tiba mengeluarkan kata-kata kasar kepada orang miskin yang tidak mampu membeli.

Situasi serupa juga berlaku ketika pengguna lain bertanya mengenai produk yang lebih kecil atau murah, tetapi mendapat jawapan yang tidak mesra dan mengecewakan.

Menurut mereka, sudah terlambat untuk pengasas-pengasas ini meminta maaf kerana tindakan mereka yang terlalu terburu-buru menghina golongan kurang berkemampuan. “Terlajak perahu boleh patah balik, tetapi hati yang hitam tetap melekat,” kata salah seorang pengguna.

BACA: Tiada sumber kekayaan punca 6 negara islam ini iktiraf Israel