Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz hari ini mengumumkan pelancaran kilang Proton Holdings Berhad (Proton) di Mesir.
Langkah ini diambil untuk memacu peluasan strategik Proton dalam sektor automotif di Afrika Utara.
Menerusi satu hantaran di laman X @tzafrul_aziz, beliau berkata syarikat automotif itu berhasrat menjadikan Mesir sebagai hab eksport utama
untuk pasaran Afrika Utara. Proton juga menyasarkan pengeluaran sebanyak 5,000 unit Proton Saga pada tahun 2025,
Dengan jumlah peningkatan sehingga 25,000 unit menjelang 2026.
“Inisiatif ini melibatkan pelaburan sebanyak AS$35 juta dan turut menyokong dasar ekonomi Mesir untuk menggalakkan pemasangan tempatan sekaligus mengurangkan import CBU,” ujar Tengku Zafrul.
Beliau berharap pelaburan ini akan memperkukuhkan ekosistem ekonomi Mesir serta mengukuhkan kedudukan Proton sebagai jenama automotif Malaysia yang terus berkembang di peringkat antarabangsa.
Pelancaran kilang Proton di Mesir merupakan langkah penting dalam memperluaskan pasaran di Afrika Utara. Proton bertujuan untuk menjadikan Mesir sebagai hub eksport utama ke negara-negara Afrika Utara dengan sasaran pengeluaran 5,000 unit pada 2025 dan 25,000 unit menjelang 2026.
Terdahulu, Bernama melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melancarkan pengoperasian kilang pemasangan (CKD) kereta Proton di Mesir yang dijangka memulakan operasi pada Disember tahun ini.
Anwar berkata, pemasangan Proton Saga di Mesir adalah sebahagian daripada usaha Malaysia untuk memperkenalkan pemikiran baharu dalam kerjasama dua hala antara kedua-dua negara. “Proton bukan hanya satu industri automotif di Malaysia, ia adalah kebanggaan negara dan jenama yang dikenali di seluruh dunia, termasuk di Eropah,” kata beliau dalam ucapannya pada majlis tersebut.
Perdana Menteri menambah, kerjasama ini penting untuk memajukan industri tempatan kedua-dua negara.
“Keberadaan Malaysia di Mesir adalah bukti persahabatan dan kepercayaan antara kedua-dua negara,” ujar beliau.
Menurut Anwar, rancangan pengeluaran di kilang pemasangan Proton Saga itu dijangka meningkatkan eksport Proton ke Mesir kepada 16,000 unit antara 2024 hingga 2026, dengan sasaran menghasilkan pendapatan RM570 juta.
Selain itu, sebanyak RM20 juta pendapatan dijangka diperoleh daripada jualan alat ganti untuk menyokong perkhidmatan selepas jualan.
BACA: Kalah Khairul Aming! Majikan ini belanja jutaan ringgit, hadiahkan kenderaan mewah kepada pekerja