Inisiatif Menu Rahmah akan diteruskan, tetapi dengan tumpuan yang lebih spesifik kepada kawasan-kawasan tertentu
seperti perumahan kos rendah dan kawasan berhampiran kilang, supaya golongan sasar dapat merasai manfaat program tersebut.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali, berkata pihaknya telah melakukan ‘profiling’
untuk mengenal pasti kawasan yang sesuai bagi pelaksanaan program menyediakan makanan dan minuman dengan harga di bawah RM5.
“Program ini tidak akan dilaksanakan secara menyeluruh.
Sebaliknya, ia akan difokuskan di kawasan-kawasan tertentu,
terutamanya di kawasan yang mempunyai banyak pekerja kilang dan perumahan kos rendah,” katanya semasa penggulungan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat.
Armizan turut menyedari kesukaran yang dihadapi oleh peniaga dalam melaksanakan program ini, yang berasaskan kepada elemen sukarela,
Di mana mereka cuba membantu dengan menjual barangan pada harga yang berpatutan. Sebagai langkah sokongan, pihaknya memperkenalkan Program Jualan Rahmah Madani (PGRM).
“Kita sedar cabaran yang dihadapi dalam melaksanakan Menu Rahmah kerana ia bergantung kepada kesukarelawanan peniaga.
Oleh itu, kami berharap dengan pendekatan yang dilaksanakan melalui PGRM, kita dapat melibatkan lebih ramai peniaga dalam Program Menu Rahmah ini,” katanya.