Gobind Singh Deo tidak perlu melepaskan jawatan Menteri Digital meskipun tewas dalam pemilihan DAP Selangor baru-baru ini, kata Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.
Loke dipetik oleh media berkata bahawa meskipun keputusan tersebut mengejutkan, Gobind telah menerima kekalahan itu dengan hati terbuka.
Menurutnya, ini adalah sebahagian daripada proses demokrasi dalam DAP,
Dan kekalahan itu tidak bermakna Gobind perlu melepaskan jawatannya sebagai Menteri Digital.
“Ini adalah proses demokratik yang biasa. Kekalahan ini tidak bermakna beliau (Gobind) perlu berundur.
Gobind masih memainkan peranan penting sebagai Timbalan Pengerusi DAP di peringkat kebangsaan, dan saya amat menghargai sumbangannya kepada DAP Selangor selama ini,” jelas Loke.
Dalam pemilihan DAP Selangor yang diadakan baru-baru ini, Gobind gagal mempertahankan jawatannya sebagai Pengerusi DAP Selangor selepas tidak terpilih sebagai salah seorang daripada 15 ahli jawatankuasa DAP negeri.
Gobind, yang memegang jawatan Pengerusi DAP Selangor pada penggal sebelumnya, menjadi satu-satunya menteri yang tidak terpilih dalam jawatankuasa negeri tahun ini.
Jawatan Pengerusi DAP Selangor kini diambil alih oleh Exco Pelaburan, Perdagangan, dan Mobiliti Negeri, Ng Sze Han. Keputusan ini datang selepas Loke menyuarakan keinginannya pada konvensyen DAP Selangor agar jawatankuasa negeri itu dianggotai oleh wakil daripada pelbagai kaum, iaitu “CIMB” – Cina, India, Melayu, dan Singh.
Loke juga mengakui bangga dengan sikap Gobind yang menerima keputusan tersebut dengan tenang dan terbuka.
“Saya rasa Gobind sudah mengeluarkan kenyataan semalam bahawa beliau menerima keputusan itu dengan hati terbuka. Bagi saya, inilah semangat yang seharusnya dimiliki oleh setiap pemimpin DAP,” kata Loke.
“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Gobind atas segala sumbangan beliau kepada parti, khususnya DAP Selangor, selama ini,” tambahnya.
BACA: 43 ekor monyet terlepas dari makmal Amerika, ‘Dah macam Planet of the Apes’