Satu rakaman memaparkan lagenda rock negara, Datuk Awie ketika menyanyikan lagu ‘Terima Kasih’
Telah berjaya mencuri perhatian pengguna media sosial tempatan, baru-baru ini.
Mana tidaknya, persembahan tersebut bukanlah dirakam dari lokasi penganjuran konsert
Mahupun kaca televisyen sebaliknya di sebuah sekolah menengah terletak di Kuala Lumpur.
Rupa-rupanya, kehadiran pemilik nama sebenar Ahmad Azhar Othman ke sekolah itu
adalah untuk merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum dan Hal Ehwal Murid Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Ampang 2024.
Menyifatkan perkara itu bagai sirih pulang ke ganggang, kehadiran Awie bertepatan dengan latar belakang penyanyi berkenaan yang juga merupakan bekas pelajar di sekolah tersebut.
Hal itu dimaklumkan menerusi satu hantaran di platform TikTok melalui akaun rasmi sekolah, @seriampangofficial bersama rakaman persembahan Awie dalam majlis tersebut.
“Bagai sirih pulang ke gagang. Majlis Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum dan Hal Ehwal Murid SMK Seri Ampang 2024 kali ini dirasmikan oleh Datuk Ahmad Azhar bin Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Awie.
“Penyanyi rock lagenda tanah air ini juga merupakan alumni di Ampang Road Boys School (nama asal sekolah)! Terima kasih Datuk Awie belanja kami satu lagu,” kata akaun berkenaan di ruangan kapsyen.
Setakat artikel ini ditulis, perkongsian yang mengundang perbincangan dalam kalangan pengguna TikTok itu telah berjaya meraih sebanyak 241,700 kali tontonan dan 17,600 tanda suka daripada pelayar platform berkenaan.
Tinjauan di ruangan komen hantaran itu mendapati rata-rata pengguna memuji penyanyi yang berusia 55 tahun itu kerana masih bertenaga malah vokalnya juga bagus walaupun hanya menggunakan mikrofon berwayar dan pembesar suara sekolah.
Beberapa individu juga tertanya sekiranya kehadiran Awie dalam majlis perasmian di sekolah berkenaan dikenakan bayaran atau sebaliknya memandangkan penyanyi itu sempat membuat persembahan.
Terdahulu, Awie pernah mendedahkan bahawa dirinya adalah salah seorang ahli gimnastik di Sekolah Menengah Seri Ampang, Kuala Lumpur selain turut mewakili sekolah untuk menjalani kursus Saintifik Gimnastik Kanada.
Difahamkan, idola Awie ketika itu adalah Nadia Elena Comaneci Conner iaitu seorang ahli gimnastik daripada Romania yang pernah memenangi lima pingat emas dalam Sukan Olimpik ketika mewakili negaranya.
Baca juga ‘Saya Tak Nak Aibkan Mana-Mana Pihak’ Pelakon wanita dakwa ada hutang bekas adik ipar Lebih RM208K