Baru-baru ini tular satu perkongsian mengenai kajian dilakukan oleh sebuah universiti tempatan berhubung
sikap usahawan sensasi iaitu Datin Vivy Yusof yang dikatakan menggunakan bahasa ‘humblebragging’ atau merendah diri untuk menunjuk.
Difahamkan, kajian bertajuk ‘An Analysis of Vivy Yusof’s Humblebragging Language on Social Media’ itu
mula hangat diperkatakan di media sosial selepas seorang individu memuat naik satu hantaran mengenainya di platform X.
Kajian linguistik yang diterbitkan pada tahun 2021 itu dilakukan oleh dua penyelidik di mana salah seorangnya dipercayai merupakan tenaga pengajar di sebuah universiti Islamik tempatan.
Penyelidik menganalis bahasa humblebragging Vivy di dalam aktiviti dan pemikiran hariannya menerusi dua video terpilih yang dimuat naik sendiri oleh ahli perniagaan berkenaan di akaun Youtube miliknya.
Manakala kenyataan berunsur humblebragging dibuat oleh usahawan itu pula dinilai melalui beberapa hantaran yang dimuat naik di akaun Instagram miliknya dari tahun 2019 hingga 2020.
Ada kajian ye.
— bukhariramli (@bukhariramli) November 2, 2024
Hasil kajian mendapati terdapat 17 humblebrags yang berasaskan rungutan dikenal pasti daripada dua video YouTube terpilih dan 17 hantaran Instagram manakala 14 humblebrags berasaskan kerendahan hati turut dikesan.
Antara kenyataan berbentuk rungutan dikongsi oleh Vivy yang dianalisis penyelidik dalam kajian itu adalah luahan kekesalannya membeli beberapa ‘sweater’ berjenama mewah namun pakaian tersebut hanya dibungkus di dalam plastik sahaja sedangkan harganya sangat mahal.
Dalam rungutan itu, Vivy Yusof menggunakan bahasa humblebragging dengan memberitahu penonton betapa banyak kos dikeluarkan untuk membeli sweater tersebut sambil merungut mengenai pembungkusan pakaian berkenaan.
Kajian itu juga mendapati Vivy Yusof turut menggunakan bahasa humblebragging dengan bercakap besar sambil merendah diri mengenai kejayaan pihaknya mengumpul dana untuk menyumbang penghawa dingin mudah alih (portable) kepada pihak hospital yang memberi rawatan kepada pesakit COVID-19.
Pemilik nama sebenar Vivy Sofinas Yusof itu juga akan menggandingkan kata-kata yang merendah diri seperti perasaan bersyukur dan memuji Tuhan sambil bercerita mengenai kejayaan dicapainya kepada para pengikut di media sosial.
Terdahulu, nama Vivy yang juga merupakan pengasas bersama FashionValet itu menjadi topik perbincangan hangat susulan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dilaporkan mengalami kerugian selepas melabur dalam syarikatnya.
Ahli perniagaan yang juga pempengaruh media sosial itu turut digesa masyarakat untuk membuat penjelasan berhubung isu kerugian sebanyak RM43.9 juta direkodkan Khazanah dan PNB melibatkan pelaburan dana awam tersebut.
Difahamkan, Khazanah dan PNB memperoleh RM3.1 juta hasil daripada penjualan pegangan saham minoriti dalam syarikat FashionValet (FashionValet Sdn Bhd) iaitu sebuah platform e-dagang fesyen kepada syarikat Bumiputera, NXBT Partners pada 2023.
Jumlah tersebut diperoleh berbanding pelaburan bernilai RM47 juta yang dilakukan Khazanah dan PNB pada 2018 dengan masing-masing berjumlah RM27 dan RM20 juta untuk pegangan minoriti dalam FashionValet.
Baca juga:Apakah yang berlaku dalam badan seseorang jika mengambil pil kuda?