Dakwa pihak polis tolak laporan? Lengan gadis ini tertusuk jarum dicucuk di kerusi UTC

Oleh JUNITA ABD RAHIM

Seorang gadis berjaya mencuri tumpuan ramai, baru-baru ini selepas memuat naik gambar memaparkan lengan tangannya bersama sedikit darah di media sosial.

Menurut gadis itu, lengannya berdarah akibat tertusuk sebatang jarum selepas duduk di sebuah kerusi

Di dalam bangunan Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Kuala Lumpur.

Gambar jarum yang menusuk lengan gadis terbabit turut dikongsikan dalam hantaran sama di platform Facebook

menerusi kumpulan ‘Malaysian Education Info (And Homeschooling too’.

Dakwa pihak polis tolak laporan? Lengan gadis ini tertusuk jarum dicucuk di kerusi UTC

Berdasarkan gambar berkenaan, dapat dilihat sebatang jarum yang dicucukkan di kawasan celah barisan kerusi sehingga membuatkan objek tajam itu tersembunyi dari pandangan orang ramai.

Namun yang menarik perhatian orang ramai berhubung hantaran tersebut adalah dakwaan gadis itu mengenai tindakan pihak polis memaklumkan kejadian tersebut tidak perlu dilaporkan.

“Kita sering mendengar cerita mengenai orang yang sengaja mencucuk jarum (di tempat awam) untuk mencederakan orang lain. Sangat malang, namun itulah yang saya hadapi hari ini.

“Jarum tertusuk ke lengan saya dan menyebabkan ia berdarah. Pergi ke balai polis dan mereka meminta saya mencabutnya sendiri. Tidak perlu membuat laporan polis,” katanya dalam hantaran itu.

Gadis berkenaan kemudian kembali semula ke lokasi kejadian untuk melaporkan insiden itu kepada pegawai keselamatan yang mengambil tindakan membuang jarum tersebut.

Susulan itu, gadis tersebut ketika berkongsi mengenai perkembangan baharu memaklumkan sudah mencari semula pegawai polis ditemuinya sebelum ini untuk membuat laporan.

Tinjauan di ruangan komen hantaran itu mendapati rata-rata pengguna mempersoalkan tindakan pihak polis selain menasihatkan gadis berkenaan membuat ujian darah kerana dikhuatiri boleh dijangkiti kuman.

Sekadar info, bahagian hujung peralatan tajam seperti jarum dan sebagainya mungkin membawa mikro organisme termasuk bakteria serta virus yang boleh menyebabkan jangkitan penyakit berbahaya.

Baca juga: Ini respon pemimpin Pas selepas artis wanita Kelantan ditangkap Polis Siam kes dadah