Seorang remaja dilaporkan maut selepas terkena renjatan elektrik ketika mengecas telefon miliknya
menggunakan soket dalam sebuah bas ekpress di Terminal Bas Penang Sentral, Butterworth, Pulau Pinang.
Dalam kejadian yang berlaku pada Jumaat, sekitar pukul 7.40 malam itu, mangsa berusia 18 tahun
dikenali sebagai Mohamad Nur Asymawi Jasmadi menaiki bas berkenaan dalam perjalanan ke Kuala Lumpur.
Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman,
remaja lelaki itu maut di tempat kejadian dengan kecederaan dikesan pada jari tangan sebelah kiri.
Kejadian mengejutkan itu mulanya disedari penumpang lain di dalam bas tersebut sebelum dilapor kepada pihak polis oleh pemandu kenderaan berkenaan yang berusia 36 tahun, lapor Harian Metro.
“Hasil pemeriksaan polis terhadap tubuh mangsa di lokasi kejadian mendapati terdapat kesan melecur di jari kirinya disyaki akibat renjatan elektrik semasa mengecas telefon bimbit berpandukan keadaan penghujung kabel cair serta peranti terbabit turut berada dalam keadaan panas.
“Temubual terhadap pemandu bas itu mendakwa mangsa menaiki bas ekspres untuk ke KL Sentral pada jam 6 petang namun 10 minit kemudian, salah seorang penumpang memaklumkan kepada pemandu bahawa mangsa menjerit sebelum ditemui dalam keadaan mulut berbuih.
“Pemandu kemudian menghubungi ambulans untuk mendapatkan rawatan awal namun pegawai perubatan yang hadir mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Anuar turut memaklumkan bahawa hasil bedah siasat yang dijalankan terhadap mangsa di Hospital Seberang Jaya (HSJ) mengesahkan remaja lelaki itu maut akibat renjatan elektrik dan tiada kecederaan lain.
Siasatan lanjut di lokasi kejadian juga mendapati tiada unsur jenayah ditemukan dan sehubungan dengan itu, kematian mangsa diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut.
Baca juga Walaupun jauh dari daratan, ini alat yang bantu hantar isyarat kecemasan atas kapal