Kerajaan tidak akan berkompromi dengan permintaan Meta untuk melanjutkan tarikh akhir pendaftaran pelesenan media sosial di negara ini.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata jika kerajaan bersetuju dengan permintaan tersebut,
ia seperti memberi ruang kepada “scammer” dan kumpulan pedofilia untuk terus beroperasi secara aktif.
“Saya ada baca bahawa pihak Meta meminta lebih masa, tetapi kita tidak boleh memberi lebih masa kepada scammer dan kumpulan pedofilia yang kini berleluasa.
“Terdapat aduan yang diterima kerajaan daripada orang awam tentang kumpulan pedofilia di Facebook,
ada yang memiliki beratus malah beribu pengikut dan telah beroperasi bertahun-tahun lamanya.
“(Oleh itu) Saya tidak faham mengapa Meta masih mahu mempertahankan kumpulan scammer dan kumpulan pedofilia ini,” katanya kepada media selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Deepavali Madani 2024 di Kuala Lumpur, hari ini.
Majlis itu turut dihadiri Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, dan Presiden MIC SA Vigneswaran.
Sebelum ini, Meta – yang memiliki platform media sosial seperti Facebook, Instagram, dan WhatsApp – meminta kerajaan melanjutkan tarikh akhir pendaftaran pelesenan media sosial.
Menurut keputusan yang ada, penguatkuasaan akan bermula pada 1 Januari depan.
Dalam temu bual dengan Malaysiakini semalam, Pengarah Dasar Awam Meta Asia Tenggara, Rafael Frankel, menyuarakan kebimbangan syarikat itu terhadap “garis masa yang sangat dipercepatkan” untuk mematuhi peraturan baru tersebut.
Memberi Pelbagai Alasan
Menurut Frankel, kebimbangan utama Meta ialah mengenai kewajipan yang tidak jelas yang akan dikenakan oleh kerajaan terhadap platform tersebut.
Semalam, Fahmi sudah menegur Meta kerana masih gagal menangani isu jenayah pedofilia dan pengantunan kanak-kanak (sexual grooming), terutamanya di platform Facebook.
“Meta perlu lebih proaktif dalam membanteras kumpulan-kumpulan di platform media sosial mereka yang berkaitan dengan aktiviti jenayah seksual tersebut,” katanya.
Mengulas lanjut, Fahmi yang juga jurucakap kerajaan menolak dakwaan Meta yang menyatakan tiada perbincangan pernah dilakukan antara mereka.
“Meta kata kita tidak pernah berbincang dengan mereka, itu satu pembohongan. Kita sudah berbincang dengan mereka awal tahun ini.
“Saya sendiri pergi ke Singapura untuk berbincang dengan mereka, dan mereka memberi pelbagai alasan.
“Tetapi, bagi saya keselamatan rakyat Malaysia, terutamanya kanak-kanak, tidak boleh dikompromi,” tegasnya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai isu kerugian pelaburan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Pelaburan Nasional Berhad (PNB) akibat jualan saham Fashion Valet Sdn Bhd, Fahmi berkata, beliau akan memberi penjelasan selepas mendapat maklumat lengkap.
“Kerajaan memantau isu ini. Saya belum mendapat laporan penuh tentang apa yang berlaku, dan sudah tentu ramai yang mempunyai persoalan mengenai perkara ini,” katanya lagi.
BACA: Patutlah Mi wantan Sri Petaling ramai yang suka, rupanya lauk ayam digaul guna batang mop!