Kata orang, mimpi adalah mainan tidur. Namun dalam Islam, terdapat beberapa jenis mimpi yang boleh diambil kira
Dan ditafsirkan kerana ia mungkin membawa maksud tertentu. Oleh itu, kita tidak seharusnya terlalu mempercayai
setiap tafsiran yang dibuat oleh orang biasa, sebaliknya perlu merujuk kepada tafsir mimpi dalam konteks Islam.
Ramai yang bertanya mengenai maksud jika sering bermimpi ular, harimau, dan buaya.
Ketiga-tiga haiwan ini merupakan haiwan yang sangat berbahaya, jadi terdapat beberapa tafsiran yang dapat kita rumuskan.
Soalan: Saya Mimpi Dikejar Ular dan Dimakan Buaya atau Harimau. Adakah Itu Mimpi Mainan Tidur atau Disebabkan Syaitan?
Menurut pihak Mufti Wilayah Persekutuan, tiada maksud khusus yang berkaitan dengan mimpi dikejar ular atau dimakan buaya dan harimau. Namun, untuk mimpi bertemu harimau, Mufti WP memetik pandangan al-Imam ‘Abd al-Ghani al-Nabulsi:
“Barangsiapa yang melihat harimau dalam mimpinya, hendaklah dia beristighfar kepada Allah atas dosa-dosanya. Ini kerana harimau melambangkan raja-raja Parsi yang bertakwa, s
erta menunjukkan kegagahan dan ketakutan manusia kepadanya. Ia juga melambangkan seseorang yang mempunyai pelbagai kebolehan dalam berbagai bidang.”
Pada pandangan Mufti WP, ini merujuk kepada kehebatan seseorang. Oleh itu, istighfar merupakan satu saranan untuk menginsafi kekurangan diri dan membuang sikap berbangga dengan diri sendiri.
Jika mimpi bertemu buaya, Imam ‘Abd al-Ghani al-Nabulsi menyatakan:
“Melihat buaya dalam mimpi adalah simbolik kepada polis. Buaya di dalam laut merujuk kepada seseorang yang tidak boleh dipercayai, sama ada kawan atau lawan. Buaya juga menggambarkan peniaga yang zalim dan tidak boleh dipercayai. Sesiapa yang melihat buaya menariknya ke dalam air dan membunuhnya, itu bermakna dia akan ditangkap polis yang akan merampas hartanya dan membunuhnya. Jika dia selamat, maka dia terselamat.
Melihat buaya dalam mimpi juga merujuk kepada kebiadaban, dosa, perompakan, pendapatan yang tidak menepati syarak, ketakutan, dan tekanan. Ia juga boleh menggambarkan kematian seseorang, diibaratkan dengan keadaan lemas. Melihat buaya di laut menandakan keburukan, sementara di daratan menunjukkan buaya tersebut lemah dan hina. Jika buaya menarik seseorang ke dalam air, ini bermakna seseorang yang berkuasa akan memaksanya melakukan sesuatu yang tidak disukai. Jika seseorang melihat dirinya makan daging buaya atau menarik buaya keluar dari air, itu bermakna dia akan berjaya mengatasi musuhnya.”
Secara asasnya, Ibn Hajar al-‘Asqalani membahagikan mimpi kepada dua jenis:
Mimpi yang Benar (al-sadiqah): Ini adalah mimpi para Nabi dan orang-orang soleh. Mimpi ini jarang berlaku kepada selain daripada mereka dan boleh berlaku secara sedar (yaqazah) yang sesuai dengan apa yang berlaku dalam mimpi.
Dikenali sebagai al-adghath: Ini adalah mimpi yang datang tiba-tiba tanpa sebarang tindakan yang membawa kepada mimpi tersebut. Ia boleh muncul dalam beberapa bentuk:
Permainan syaitan untuk menyebabkan orang yang bermimpi merasa sedih atau risau.
Melihat malaikat yang mengarahkannya melakukan perkara yang diharamkan atau mustahil.
Sesuatu yang difikirkan oleh orang yang bermimpi semasa sedar dan terbawa-bawa ke dalam mimpi. Ini adalah yang biasa berlaku.
Antara panduan ringkas jika berhadapan dengan mimpi buruk adalah:
Meludah ke kiri 3 kali
Sabda Nabi SAW:
إِذَا رَأَى أَحَدُكُمُ الرُّؤْيَا يَكْرَهُهَا، فَلْيَبْصُقْ عَنْ يَسَارِهِ ثَلَاثًا وَلْيَسْتَعِذْ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ ثَلَاثًا، وَلْيَتَحَوَّلْ عَنْ جَنْبِهِ الَّذِي كَانَ عَلَيْهِ
Maksudnya: “Apabila seseorang dari kalian mengalami mimpi buruk, hendaklah meludah ke sebelah kiri sebanyak tiga kali, dan meminta perlindungan kepada Allah dari kejahatan syaitan sebanyak tiga kali serta menukar posisi tidur.” (Riwayat Muslim, no. 2262)
Tidak menceritakan kepada orang lain, bangun tidur dan laksanakan solat
Sabda Nabi SAW:
الرُّؤْيَا ثَلاَثٌ: حَدِيثُ النَّفْسِ، وَتَخْوِيفُ الشَّيْطَانِ، وَبُشْرَى مِنَ اللَّهِ، فَمَنْ رَأَى شَيْئًا يَكْرَهُهُ فَلاَ يَقُصَّهُ عَلَى أَحَدٍ وَلْيَقُمْ فَلْيُصَلِّ
Mimpi itu ada tiga jenis: “Bisikan hati, ketakutan daripada syaitan, dan berita gembira dari Allah. Barangsiapa yang melihat sesuatu yang tidak disukai, usah menceritakannya kepada orang lain. Dia seharusnya bangun dan melaksanakan solat.”
Akhir kalam, kami mencadangkan agar merujuk kepada para ulama yang muktabar dan kitab yang masyhur untuk memahami ta’bir mimpi. Ini perlu ditanya kepada orang yang soleh agar mendapat tafsiran yang tepat dan tidak menyeleweng. Allah SWT juga menurunkan wahyu kepada Rasul-Nya dalam bentuk mimpi. Sabda Nabi SAW:
رُؤْيَا المُؤْمِنِ جُزْءٌ مِنْ سِتَّةٍ وَأَرْبَعِينَ جُزْءًا مِنَ النُّبُوَّةِ
Maksudnya: “Mimpi orang Mukmin adalah sejuzuk daripada 46 juzuk kenabian.” (Riwayat al-Bukhari, no. 6987)
*Sesungguhnya, mimpi orang Mukmin di akhir zaman memberi kesan positif kepada kehidupannya dan masyarakat. Semoga dengan pencerahan ini, kita dapat memahami isu ini dengan lebih baik.