Ubat-ubatan telah digunakan sejak zaman dahulu oleh manusia untuk merawat pelbagai penyakit seperti demam, batuk, darah tinggi, dan lain-lain
Ubat-ubatan berdaftar ini diketahui berguna untuk mencegah, merawat, mengawal, dan menyembuhkan pelbagai penyakit.
Ubat-ubatan ini pula dijual dalam pelbagai bentuk, seperti tablet, kapsul, dan cecair, sama ada diambil melalui mulut atau suntikan.
Namun, pernahkah anda tertanya-tanya mengapa pil dalam botol preskripsi biasanya dibungkus dalam botol berwarna jingga jernih?
Menurut Reader’s Digest (RD), penggunaan botol berwarna jingga sebenarnya berfungsi untuk menapis sinaran UV,
supaya ia tidak menjejaskan kualiti ubat. Hampir setiap jenis pil, dari antidepresi, antibiotik, ubat tahan sakit hingga ubat tidur, disimpan dalam botol berwarna jingga bersama kapas.
Mengapa tidak gunakan bekas legap sepenuhnya? RD menjelaskan bahawa ubat yang dihantar oleh pengilang ke farmasi biasanya dibungkus dalam bekas legap untuk mengelak pendedahan cahaya. Namun, botol jingga jernih dipilih kerana memudahkan ahli farmasi dan pesakit melihat kandungan ubat tanpa perlu membukanya. Selain itu, warna jingga menapis sinaran UV, sementara kejelasan botol membantu pesakit mengenal pasti baki ubat yang tinggal dan merancang pengambilan ubat dengan lebih baik.
Selain itu, warna jingga telah menjadi amalan standard, jadi orang ramai boleh mengenali botol tersebut sebagai botol ubat preskripsi dengan mudah.
Botol ubat berwarna jingga biasanya disertakan dengan penutup putih kalis kanak-kanak yang direka untuk mengelakkan kanak-kanak dari membukanya dengan mudah. Penutup jenis ini memerlukan teknik khusus untuk dibuka, seperti menekan sambil memulas, dan masih digunakan sehingga hari ini.
Penutup ini dicipta oleh pakar pediatrik, Henri Breault, yang mendapati bahawa kempen kesihatan awam pada awal 1960-an untuk mengurangkan keracunan ubat dalam kalangan kanak-kanak tidak begitu berhasil.
Beliau bekerjasama dengan jurutera untuk mencipta penutup kalis kanak-kanak pertama yang sesuai untuk botol ubat jernih pada tahun 1967.
Inovasi ini memberi inspirasi kepada penggubalan Akta Pembungkusan Pencegahan Racun 1970 oleh Amerika Syarikat, yang mewajibkan penggunaan penutup kalis kanak-kanak untuk setiap botol ubat.
Akta ini terbukti berkesan apabila kes kematian kanak-kanak bawah 5 tahun akibat keracunan ubat tidak sengaja menurun lebih 80 peratus.
BACA: Benjamin Netanyahu terpaksa hentikan ucapa selepas dimalukan rakyat sendiri