Calon Bupati Kabupaten Mesuji nombor dua, Elfianah Khamami mencetuskan kontroversi apabila klip kempennya yang ‘menjanjikan syurga’ tular di media sosial.
Dakwaan kempennya itu mendapat perhatian ramai baru-baru ini
selepas seorang pengguna Instagram memuat naik video yang menunjukkan Elfianah mengeluarkan kenyataan tersebut.
“Kita akan dipanggil nanti, hai warga Mesuji yang dahulu memilih calon nombor dua, ayuh ikut bersamaku,
masuk syurga bersamaku, kerana program calon ini menyantuni anak yatim,” ujar Elfianah dalam klip itu.
Susulan itu, pegawai pilihan raya Mesuji, Robby Ruyudha mengesahkan keaslian klip video tersebut dan sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung dakwaan pembelian undi.
“Memang benar wanita itu Elfianah, namun kami masih menyiasat lokasi serta waktu kempen itu dijalankan,” katanya pada 24 Oktober lalu.
Di media sosial, klip tersebut mencetuskan pelbagai reaksi daripada netizen yang rata-rata tidak bersetuju dengan pendekatan kempen tersebut.
“Kempennya seakan-akan memperdagangkan agama,” komen seorang pengguna.
“Ada kebimbangan ia boleh membawa kepada kesesatan kerana dia menawarkan janji yang di luar kawalan manusia,” kata seorang lagi.
Elfianah bukanlah pendatang baharu dalam politik Mesuji; dia juga merupakan isteri kepada bekas Bupati Mesuji, Khamami, yang pernah didakwa dalam kes rasuah pada 2019.