Selain jimat kos bahan api, ini kelemahan kereta EV ramai tak tahu

Oleh MUHAMMAD KHAIRY JALALUDDIN

Kenderaan elektrik (EV) kini dianggap sebagai model masa depan pengangkutan,

kerana ia mampu menawarkan banyak manfaat berbanding kereta yang berasaskan bahan bakar petroleum

. Dipuji kerana penjimatan penggunaan bahan api, pengurangan pelepasan gas berbahaya ke udara,

dan kos operasi yang lebih rendah, tidak menghairankan jika EV kini menjadi pilihan ramai.

Namun, di sebalik semua aspek positif mengenai EV, bakal pembeli perlu sedar tentang beberapa kelemahan tertentu berkenaan kereta EV yang ada pada masa kini.

Selain jimat kos bahan api, ini kelemahan kereta EV ramai tak tahu

1. Tayar Lebih Cepat Haus

Salah satu isu yang kurang dibincangkan mengenai EV adalah kadar pemakaian tayar yang lebih cepat berbanding kereta konvensional. Ini disebabkan reka bentuk EV yang biasanya lebih berat daripada kenderaan dengan enjin pembakaran dalaman (ICE) akibat berat bateri.

Berat tambahan ini meningkatkan tekanan pada tayar, seterusnya meningkatkan kadar geseran tayar dengan permukaan jalan

. Menurut firma Emissions Analytics, bagi setiap 1,000 paun (453 kg) berat tambahan kenderaan, pemakaian tayar akan meningkat sebanyak 20%. Selain itu,

tork yang segera dari motor elektrik juga boleh menyebabkan tayar habis sehingga 20-50% lebih cepat berbanding kenderaan konvensional. Ini bermakna, EV bukan sahaja meningkatkan kos penyelenggaraan, tetapi juga menyumbang kepada pencemaran alam sekitar akibat pembuangan tayar yang lebih kerap.

2. Masalah Trak Tunda

Walaupun di negara maju kapasiti kereta tunda EV telah meningkat, isu ini masih menjadi kebimbangan. Menunda EV memerlukan teknik khusus, kerana tidak semua lori penunda tradisional sesuai untuk menangani EV.

Jika EV mengalami kerosakan atau kehabisan bateri, ia memerlukan cara penundaan yang betul untuk mengelakkan kerosakan tambahan pada sistem bateri atau komponen elektronik.

Di banyak kawasan, terutamanya di kawasan pedalaman, terdapat kekurangan lori penunda yang dilengkapi dengan peralatan yang betul dan operator yang terlatih untuk menunda EV dengan selamat.

3. Kebimbangan Jarak

Kebimbangan jarak, atau range anxiety, adalah ketakutan yang dialami oleh pemilik EV ketika bimbang kenderaan mereka akan kehabisan bateri sebelum sampai ke destinasi.

Walaupun terdapat kemajuan dalam teknologi bateri, jarak perjalanan EV masih terhad berbanding kenderaan konvensional.

Kajian oleh International Journal of Low-Carbon Technologies menekankan bahawa kebimbangan jarak adalah penghalang utama kepada populariti EV. Penambahbaikan dalam infrastruktur pengecasan dan penyediaan anggaran jarak yang tepat diperlukan untuk mengurangkan isu ini.

4. Masalah Pembaikan

Walaupun servis EV biasanya lebih murah kerana mekanismenya yang lebih ringkas, membaiki EV yang mengalami kerosakan boleh menjadi lebih mencabar dan mahal berbanding kenderaan ICE.

EV mempunyai sistem elektrik yang kompleks dan bateri voltan tinggi yang memerlukan pengetahuan dan peralatan khas untuk dibaiki.

Kajian oleh Solera Holdings menunjukkan bahawa kos pembaikan EV secara purata adalah 29% lebih tinggi berbanding kos pembaikan kenderaan ICE. Kekurangan juruteknik terlatih dan kerumitan pembaikan juga boleh menyebabkan masa pembaikan yang lebih lama dan kos yang lebih tinggi.

5. Masalah Nilai Jual Terpakai

Di Malaysia, nilai jual semula adalah ukuran populariti jenama dan model kereta. Dalam kes EV, impaknya diramalkan jauh lebih besar. Nilai jual semula EV secara purata lebih rendah daripada jangkaan pemilik, disebabkan kemajuan pesat dalam teknologi bateri yang menjadikan model lama kurang menarik.

Kajian oleh Highway Loss Data Institute mendapati bahawa EV mempunyai 79% lebih banyak isu dan masalah berbanding kenderaan ICE, yang mempengaruhi kadar kebolehpercayaan model terpakai. Akibat kebimbangan bakal pembeli, nilai jual semula EV terjejas, menyebabkan ramai terpaksa menjual pada harga yang rendah.

Dengan semua kelemahan ini, bakal pembeli EV disarankan untuk melakukan penelitian dan merancang dengan teliti sebelum membuat keputusan pembelian.

BACA: Selepas New Zealand, Khairul Aming dijemput jelajah Oman 8 hari 7 malam