Tular di media sosial sebuah video yang menunjukkan tindakan sebuah keluarga yang bersepakat untuk melakukan ‘prank’ sambutan hari jadi ibu mereka.
Helah yang digunakan adalah dengan memberitahu wanita itu bahawa suaminya telah membawa perempuan lain pulang ke rumah,
padahal semua itu hanyalah cerita rekaan semata-mata untuk melakukan kejutan.
Mendengar khabar bahawa suaminya bertindak curang, siapa yang tidak akan marah, bukan?
Dalam keadaan tergesa-gesa pulang, tidak semua kisah ‘prank’ ini akan berakhir dengan baik; ada juga yang boleh mengakibatkan tragedi!
Dalam video tersebut, setelah membuka pintu rumah, isteri yang belum sempat menanggalkan kedua-dua kasutnya segera meluru ke dalam dan membuka pintu bilik hujung untuk ‘menangkap’ suami yang didakwa curang.
Tiba-tiba, kedengaran suara ahli keluarga yang menyanyikan lagu Happy Birthday sambil membawa sebiji kek.
Dalam keadaan marah, dia membaling topi keledar sebelum memberikan amaran kepada suaminya. Namun, suasana kembali tenang setelah dia berjaya menenangkan diri, dan ahli keluarga yang terlibat juga meminta maaf.
Sejak dikongsikan di TikTok, video ini telah meraih lebih 300 ribu tontonan. Netizen meninggalkan pelbagai komen; ada yang menganggap ini hiburan dan ada juga yang tidak. Namun, satu komen daripada pengguna Facebook bernama Sitti Zainah Zainal mungkin akan membuatkan kita semua TERSENTAK.
Dalam kisah yang dikongsikan semula oleh Puan Sitti Zainah, yang pernah mengendalikan kes kemalangan, seorang suami pernah membuat prank serupa.
Apabila diberitahu suaminya membawa balik perempuan lain, isteri yang tergesa-gesa pulang memandu kenderaan dengan laju sebelum terlibat dalam kemalangan yang meragut nyawanya di lokasi kejadian.
Menurutnya, daripada sebuah majlis sambutan hari jadi yang sepatutnya diraikan dengan gembira dan kesyukuran, siapa sangka ia bertukar menjadi peristiwa paling menyedihkan dalam hidup suami tersebut.
Sehingga kini, suami itu tidak berkahwin lain dan hanya fokus menjaga tiga orang anak.