Maszlee Malik dituduh dedah memo burukkan kerajaan, tuan badan tampil beri jawapan

Oleh DAHLIA MARZUKI

Bekas Menteri Pendidikan, Maszlee Malik, menyatakan bahawa isu yang dibawanya berkaitan dengan memo dalaman Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

bertarikh 8 Oktober lalu adalah mengenai Akta 605 dan bukan larangan untuk memburukkan kerajaan.

“Surat pekeliling itu bukanlah sulit atau rahsia. Semua pihak di UKM menerimanya. Di mana timbulnya isu kebocoran ini?

“Ciapan saya di X adalah mengenai aduan rakan akademik yang menyentuh tentang bagaimana Akta 605 digunakan dalam isu ini

untuk menghalang ahli akademik daripada membuat sebarang kenyataan berhubung kerajaan dan keputusan-keputusan kerajaan, dan bukannya larangan untuk memburukkan kerajaan.

Maszlee Malik dituduh dedah memo burukkan kerajaan, tuan badan tampil beri jawapan

“Cubalah baca dengan teliti surat itu,” katanya.

“Apapun, terima kasih kerana sudi melaporkan isu yang dipandang sepi oleh masyarakat tetapi amat bermakna bagi para cendekiawan dan ahli akademik di seluruh negara.

“Jika boleh, dapatkan input daripada kesatuan-kesatuan akademik dan Akademi Profesor mengenai isu ini,” tambahnya.

Memo dari UKM bertarikh 8 Oktober itu mengingatkan ahli akademik supaya tidak membuat kenyataan awam, termasuk di media sosial, melainkan jika dibenarkan atau diberi mandat untuk berbuat demikian.

Memo tersebut menyatakan bahawa peringatan kepada semua pegawai awam datang daripada Ketua Setiausaha Negara, Shamsul Azri Abu Bakar, melalui mesyuarat pengurusan Jabatan Perdana Menteri 2024.

“Jika disabitkan dengan kesalahan dan melanggar mana-mana peraturan yang sedang berkuat kuasa, tindakan tatatertib boleh dikenakan kepada pegawai awam yang terlibat,” kata memo itu.

Surat pekeliling tersebut juga menambah bahawa semua penjawat awam, termasuk dari badan berkanun, dilarang membuat kenyataan awam, sama ada dalam bentuk lisan, bertulis, atau lain-lain, yang dianggap boleh memudaratkan dasar, rancangan, atau keputusan oleh mana-mana badan berkanun atau kerajaan mengenai sebarang isu.

BACA: Hidup mewah melebihi kemampuan, KPN tidak akan berkompromi dengan anggota terbabit salah laku jenayah